suria

"Kalau dapat saya, memang dia takkan lepas" - Gadis lega misteri mesej 'nak kek free tak?' terjawab

Gambar hiasan. -AFP

SIAPA sangka bermula dengan satu mesej tawaran kek percuma, hidup seorang gadis terganggu gara-gara pengirimnya, seorang remaja lelaki yang tidak dikenali berterusan menghantar mesej yang sama kepadanya.

Menurut gadis berkenaan, Syazwani A Rahim, 22, dia beberapa kali menerima mesej di Instagram bertanyakan soalan 'nak kek free tak?'.

"Pada mulanya saya biarkan sahaja, namun apabila saya telah membaca mesej tersebut, dia berhenti hantar soalan itu.

"Saya hanya membalas 'kek apa ya?'.

"Tetapi yang mengejutkan saya, dia terus marah-marah. Saya pun tidak tahu kenapa," jelas Syazwani kepada mStar Online.


Paparan skrin mesej-mesej yang dihantar kepada Syazwani.

Jelas Syazwani dia memutuskan untuk tidak terus melayan remaja lelaki itu, tetapi malangnya dia terus menghantar mesej-mesej yang menakutkan, termasuklah ugutan.

"Saya hanya diam dan dia bertambah berani mengugut nak cari saya. Malah dia juga hantar gambar saya kepada saya sendiri.

"Dia ugut 'kalau dapat saya memang dia takkan lepas' dan mahu suruh kawan-kawannya cari saya.

"Memang menakutkan caranya itu. Saya kongsi kes ini di Twitter dan rupa-rupanya ada juga mangsa lain yang kena kacau dengan lelaki ini," katanya.

Syazwani berkata, selepas mendapat nasihat daripada keluarga dan kawan-kawan, dia bercadang membuat laporan polis pada Ahad.

"Tetapi petang semalam salah seorang ahli keluarga lelaki itu ada hubungi saya melalui mesej di Instagram.

Paparan skrin sepupu remaja 'sakit' menghantar mesej memohon maaf kepada Syazwani.

"Rupa-rupanya remaja itu tak berapa sihat. Menurut sepupunya,dia memang selalu kacau orang lain termasuk ahli keluarganya sendiri melalui media sosial.

"Saya agak terkejut juga bila dapat tahu perkara sebenar. Sepupunya itu ada meminta maaf kepada saya dan berjanji akan pantau remaja berkenaan.

"Saya turut minta supaya mereka pantau apa yang remaja itu buat. Ia menakutkan saya.

"Selepas tahu perkara sebenar, saya tak jadi buat laporan polis," jelasnya yang tinggal di Johor.

Syazwani juga turut mengingatkan pengguna media sosial terutamanya golongan wanita supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang gambar.

"Kadang-kadang gambar-gambar ini dicuri oleh orang yang tak bertanggungjawab dan mereka kacau kita.

"Walaupun akaun private dan saya berhati-hati, tetap juga berlaku perkara sebegini," tambahnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Remaja, kacau, tak sihat

Artikel Lain