BARU-baru ini kecoh mengenai sijil kelahiran bayi lelaki yang kononnya didaftarkan dengan nama ‘Muhammad Bossku’, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi. Semuanya gara-gara penggunaan nama ‘Bossku’ yang kini semakin meniti di bibir masyarakat terutama netizen, malahan menjadi trend di laman sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri naik angin anak dinamakan Muhammad Bossku, suami kata, "Nak malu apa isteriku?" Terbaharu, tular di media sosial mengenai sebuah kedai yang ketika itu diumumkan bakal dibuka turut menggunakan nama Bossku menyebabkan ramai yang tertanya-tanya mengenai kesahihan nama tersebut, atau sekadar gimik untuk menarik perhatian. Namun pembukaan kedai yang baru beroperasi pada Khamis (31 Januari 2019) di Puncak Jalil di Seri Kembangan, Selangor akhirnya menjawab teka-teki mengenai penggunaan nama Bossku, iaitu Kedai Kopi Bossku. Papan tandai kedai Bossku menjadi tanda tanya. Foto Instagram kedai_kopi_bossku Pemilik restoran, Muhamad Aswad Abdul Rahim, 38, berkata, nama Bossku itu telah mula digunakan bagi gerai kecil menjual kepak ayam bakar yang dibukanya bersama keluarga sejak Oktober tahun lalu di sebuah restoran berdekatan. Anak kelahiran Kampung Baharu, Kuala Lumpur ini menjelaskan bahawa nama Bossku digunakan tahun lalu kerana kepak ayam itu merupakan resepi suami adik ipar isterinya berasal dari Sarawak yang juga pernah bekerja di Labuan. “Penggunaan nama Bossku telah lama digunakan adik ipar di Sabah dan Sarawak. Ini termasuk ibu mertua yang juga berasal dari Labuan. Nama Bossku sudah sebati dalam kehidupan mereka. “Pada awalnya nak letak nama Lengkuas tapi bila buat carian di Google, dah banyak nama Lengkuas. Jadi, ahli keluarga kata kenapa tidak kekalkan saja nama Bossku untuk restoran baharu ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Gerai kepak ayam Bossku kini bertukar ke Kedai Kopi Bossku Muhamad Aswad yang bekerja dalam bidang hartanah selama lebih 15 tahun bagaimanapun menyedari nama Bossku semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Bila papan tanda kedai dinaikkan dua hari lalu, kawan-kawan percaya dan mula panggil saya Bossku. Muhamad Aswad Abdul Rahim Pemilik Kedai Kopi Bossku Justeru, bapa tiga anak itu menyifatkan penggunaan nama berkenaan sebagai tuah untuk pembukaan restoran yang dirancangnya sejak dua tahun lalu. “Masa saya promosi kat kawan-kawan yang kedai ni akan dibuka, mereka macam tak percaya, sampai tanya betul ke atau sekadar bergurau. Tapi saya kata ini betul-betul punya, betul-betul Bossku. “Bila papan tanda kedai dinaikkan dua hari lalu, kawan-kawan percaya dan mula panggil saya Bossku dalam grup sembang WhatsApp. Bossku... Bossku, dah melekat nama tu,” katanya secara berseloroh. Sebahagian pelanggan pada hari pertama pembukaan Kedai Kopi Bossku pada Khamis. Muhamad Aswad berkata, penggunaan nama kedai tersebut diluluskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebelum memohon lesen papan tanda daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), sambil menambah dia mendapat kelulusan seterusnya daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Mengenai Kedai Kopi Bossku yang dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 10 malam, Muhamad Aswad berkata, ia merupakan permulaan untuk ahli keluarganya mencari sumber pendapatan ekoran keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini. “Memang nak buat untuk bisnes keluarga sebab nak bantu ahli keluarga jana pendapatan terutama mereka yang menganggur, ada yang pernah dibuang kerja dan ada yang sukar untuk dapat kerja. “Tambahan pula, keluarga di sebelah isteri memang pandai masak. Dengan kepakaran masing-masing, kami boleh buka restoran berkonsepkan homemade, masakan cara kampung, pengalaman pelanggan macam makan di rumah,” katanya. Mendapat kelulusan untuk menggunakan nama Kedai Kopi Bossku daripada DBP sebelum membuat permohonan lesen papan tanda dengan MPSJ. Sebelum ini tular mengenai sijil kelahiran yang didaftarkan nama Muhammad Bossku di media sosial, tetapi kemudian bapa bayi itu tampil mendedahkan kepada mStar Online bahawa ia sebenarnya disunting sebagai bahan guruan buat isterinya. Hanya mahu dikenali sebagai Dean Ahmad, dia memberitahu nama anaknya yang lahir pada 12 Januari itu adalah Umar Al-Faqeh, sambil berkongsi gambar sijil kelahiran dengan nama sebenar.