suria

"Saya dengan muka tak tidur, tak mandi..." - Jejak kasih punya hal, gadis terkejut gambar lama dengan wanita NY tular di Twitter

Swafoto Izzati dan Morgan dalam pesawat Air Asia pada tahun lalu. FOTO: @morganfacedotco

SIAPA sangka laman sosial seperti Twitter juga boleh digunakan sebagai medan jejak kasih.

Begitulah hebatnya kuasa tular jika digunakan dengan cara yang betul.

Terbaharu, seorang wanita dipercayai berasal dari New York, Amerika Syarikat (AS) menggunakan platform itu untuk mencari seorang gadis Malaysia yang ditemuinya, hampir setahun lalu.

Menerusi tweet beserta foto yang dimuat naik oleh wanita berkenaan yang dibuat melalui akaun Twitter @Morgan, dia memohon bantuan netizen supaya mencari gadis tersebut.

Posting itu akhirnya sampai ke pengetahuan gadis berkenaan setelah ia tular sejak Rabu lalu.

Tweet tular yang mencari Izzati.

Terkejut dengan penularan foto dirinya, Izzati Nazeera Abdul Halim, 27, turut meninggalkan komen di tweet berkenan.

Dia sewaktu dihubungi mStar Online mengakui segan dan tidak menyangka wajahnya akan menjadi tatapan ramai.

"Gambar itu pada tahun lepas, 17 Januari sewaktu dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Phuket.

"Tapi dalam tweet tu dia tulis dari Jepun ke Malaysia. Mungkin dia keliru sebab bertukar-tukar beberapa penerbangan.

"Saya bercakap dengan dia sewaktu nak pinjam pen, kami berkenalan dan bercerita mengenai diri masing-masing dan ajak dia selfie. Gambar itu saya airdrop ke telefon dia.

"Tapi setakat itu sahaja. Tiba-tiba ramai hantar screenshot bila dia cari saya balik dalam tweet tu, agak terkejut juga," ujar Izzati pada Jumaat.

Izzati turut meninggalkan komen di tweet berkenaan.

Menurut juruaudit yang menetap di Shah Alam itu, dia juga agak segan apabila beberapa individu mula menegurnya setelah gambar tersebut tular di Twitter.

Mengimbas pertemuan mereka, Izzati berkata dia dan seorang lagi sahabat sedang dalam perjalanan untuk bercuti ke Phuket pada waktu itu.

Namun katanya, dia terpisah tempat duduk dengan sahabatnya dan ditempatkan bersebelahan dengan Morgan sebelum mereka mula berkenalan.

"Berbual-bual macam biasa sahaja pada waktu itu. Saya tanya dia dari mana, datang buat apa. Itu sahaja.

"Itu adalah trip pertama saya untuk 2018. Masa tu memang penat sebab penerbangan awal pagi.

"Saya dengan muka tak tidur, tak mandi. Tapi nasib baik gambar tu nampak okay je. Saya sampai lapangan terbang sekitar pukul 2 pagi , berlepas dalam pukul 6 pagi," katanya lagi.

Dalam pada itu, tweet foto berkenaan yang dimuat naik menerusi akaun Twitter @morganfacedotco menerima hampir 8,000 ulang kicau (Retweet).

"Twitter - saya perlukan bantuan anda. Saya jumpa gadis ini dalam penerbangan Air Asia.

"Dia begitu baik dan ajak saya selfie. Saya tak tahu nama dia, boleh tolong carikan dia," tulis wanita itu.

Izzati turut membalas tweet berkenaan pada Khamis, sehari selepas ia dimuat naik.

"OMG Hi Morgan. Sudah setahun gambar ini diambil dalam penerbangan kita. Saya akan mesej (DM) awak nanti. Terima kasih kerana mencari saya," tulis Izzati pula.

Namun setakat ini, dia belum menerima apa-apa respon lagi daripada wanita tersebut.

Malah, terdapat individu yang secara berseloroh mengatakan Izzati dan Morgan memiliki wajah yang hampir sama seperti adik beradik kandung.

"Kamu pasti bukan adik beradik yang lama terpisah sebab kamu berdua nampak sama. Comel," tulis @amirawrz_.

"Ini cara baharu untuk cari kawan yang lama terpisah," tulis seorang lagi netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain