suria

Puas berusaha… Suami minta kucing berdoa, akhirnya isteri hamil anak pertama

Heera dan Shidee dikurniakan zuriat selepas memelihara seekor kucing.

TIDAK dinafikan anak pelengkap ikatan perkahwinan namun bukan semua pasangan yang berkahwin dimurahkan rezeki dengan kehadiran cahaya mata.

Jika minggu lalu kisah seorang pemuda beri kucing makan dikejutkan dengan tawaran pekerjaan, minggu ini kisah seorang wanita dikurniakan zuriat pula kerana perbuatan sama dan ia menghangatkan timeline media sosial.

Tampil berkongsi detik indah itu, wanita menggunakan Tweethandle @heerawahab atau nama sebenarnya Nurul Thahira Abd Wahab memaklumkan dia berjaya hamil selepas sebulan memelihara haiwan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bagi kucing makan hari ini, esok dapat 2 tawaran kerja… Jejaka ini sungguh terkejut

"Saya dan suami sudah dua tahun berkahwin namun belum dikurniakan zuriat. Sebelum ini saya pernah hamil tapi keguguran.

Heera dan suaminya Shidee memelihara seekor kucing berwarna hitam diberi nama Le Que.

"Akibat terlalu sunyi, saya dan suami bersepakat untuk bela kucing dan kami beli daripada salah seorang rakan kami.

"Alhamdulillah, sebulan selepas itu saya disahkan mengandung, ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Menurut wanita berusia 24 tahun ini, pelbagai usaha dan kaedah telah dilakukan untuk mendapatkan zuriat termasuk mencuba perubatan secara tradisional namun ia tidak berhasil.

"Sebutlah apa sahaja, semuanya sudah kami lakukan. Saya ada berjumpa doktor ambil ubat kuatkan rahim, malah berurut pun kami buat sehingga terpaksa berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kedah, namun tak berjaya.

"Saya dan suami juga cuba ubah cara kehidupan. Kami berhenti ambil minuman berkafein, makan makanan yang sihat, makan vitamin, tapi semua seperti tidak menjadi.

Setiap kali beri makan pada kucing, suami akan cakap dengan kucing minta doakan supaya kami juga dikurniakan zuriat. Memang itulah satu-satunya perkara dia akan kata pada kucing.

NURUL THAHIRA ABD. WAHAB

"Benarlah kata orang, kalau bela kucing rezeki semakin bertambah dan ia memang terbukti," katanya yang tinggal di Gelugor, Pulau Pinang.

Bercerita lanjut, Thahira atau lebih mesra disapa Herra yang kini sudah 11 minggu hamil memberitahu suaminya, Mohd Shidee Jahli, 31, seorang yang penyayang dan sangat sukakan kucing.

"Setiap kali ke kedai makan, dia mesti akan order ikan untuk diberi pada kucing.

"Even dalam bakul motor, kereta dia akan ada bekalan makanan untuk diberi pada kucing.

"Setiap kali beri makan pada kucing, suami akan cakap dengan kucing minta doakan supaya kami juga dikurniakan zuriat. Memang itulah satu-satunya perkara dia akan kata pada kucing," ujarnya yang tidak menyangka perkongsian itu akan menjadi viral.


Heera memberitahu suaminya, Shidee seorang yang penyayang dan pencinta haiwan.

Menurut anak jati Pokok Sena, Kedah ini lagi, beberapa individu lain turut tampil berkongsi nasib sama dengannya.

"Selepas share pengalaman itu ramai pula yang tampil berkongsi masalah. Ada yang sudah 11 tahun kahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata," katanya.

Selain itu Heera mendedahkan dia pernah mengalami kemurungan gara-gara terlalu inginkan zuriat sehingga terpaksa menjalani beberapa sesi terapi.

"Rakan-rakan yang berkahwin masing-masing dah ada anak dan besar. Kita dekat sini terasa apabila orang tanya bila nak ada anak, tak teringin ke nak ada anak.

"Saya asyik menangis sehingga tak lalu makan. Sampai satu tahap saya berasa amat tertekan dan berputus asa. Kalau berjalan ke mall dan lalu depan kedai babysaya akan rasa terlampau sedih. Dah macam tak betul.

"Sehingga saya tidak mahu berjumpa dengan sesiapa dan memilih untuk menjauhkan diri, ujarnya.

Heera memberitahu dia tidak percaya dan terpaksa melakukan sehingga lima kali ujian kehamilan.

Heera bagaimanapun menasihati wanita khusunya mereka yang belum dikurniakan zuriat untuk tidak tertekan dan berputus asa dan sentiasa percaya akan dikurniakan ganjaran jika berbakti sesama makhluk tuhan.

"Saya tak sangka akhirnya saya mengandung kerana sebelum ini setiap kali lewat datang bulan saya teruja buat ujian kehamilan namun keputusannya selalu menghampakan.

"Tapi kali ini suami perasan kelakuan saya berbeza. Saya sering mengadu ubat gigi tak sedap, dah expired ke?

"Kemudian dia suruh saya buat ujian kehamilan dan betul saya mengandung. Saya buat ujian itu sehingga lima kali sebab saya betul-betul tak sangka.

"Yang penting kita usaha, selebihnya berserah kepada Allah, ujarnya.

Pada 7 Februari lalu mStar Online ada menyiarkan kisah pemuda berusia 22 tahun iaitu Mihd. Fikri Iman Ridwan yang dua bulan menganggur mendapat tawaran kerja sehari selepas dia memberi makanan kepada beberapa ekor kucing.

Perkongsian kisah itu mendapat respons positif daripada orang ramai yang berpendapat ia merupakan ganjaran Allah kerana berbuat baik terhadap haiwan terutamanya kucing, haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan