suria

Kecoh wanita mandikan anjing di bilik salin lampin R&R, ditegur pun buat tak peduli!

Paparan skrin video menunjukkan seorang wanita sedang memandikan seekor anjing di bilik salin lampin di R&R Tapah.

KUNJUNGAN seorang wanita ke kawasan rehat dan rawat (R&R) pada Sabtu lalu dikejutkan dengan satu adegan yang tidak sepatutnya berlaku berdekatan dengan tandas wanita.

Video yang berdurasi 16 saat yang dirakamnya menunjukkan seorang wanita lain sedang memandikan seekor anak anjing di bilik salin lampin, kemudahan yang disediakan R&R untuk menukar lampin bayi.  

“R&R Tapah. Tandas wanita... boleh nampak kat situ BILIK LAMPIN! Bukan rakam saja. Dah tegur malah ‘cleaner’ (pekerja pembersihan) tu pun dihalang dari awal,” kata pengadu yang berang dan memuat naik video tersebut di halaman Facebooknya pada Sabtu.

Bilik salin lampin di R&R Tapah.

Pengadu tersebut, Farah Shafiza Che Amat, 29, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, dia bersama suami dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan singgah sebentar di R&R Tapah, Perak.

Dia yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang memberitahu, dia menegur wanita berkenaan selepas mendapati haiwan tidak dibenarkan dibawa ke R&R, tambahan pula ia adalah bilik menukar lampin bayi.

“Dah tegur beberapa kali tapi tidak dipedulikan. Tidak kisah haiwan apa sekalipun, tetapi setiap pengguna R&R perlu menghormati pengunjung lain dan menjaga kebersihan.

“Kalau betul terdesak nak mandikan atau haiwan kotor mahupun membuang najis, boleh saja menggunakan air botol minuman seperti air mineral di kawasan lebih sesuai sebagai alternatif,” katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Petugas melakukan kerja-kerja menyamak di bilik salin lampin susulan laporan dibuat kepada Plus Berhad.

Farah yang merupakan ibu kepada dua anak masing-masing berumur empat dan dua tahun mengakui berang dengan tindakan wanita itu memandangkan kedua-dua anaknya masih memakai lampin.

“Walaupun ketika kejadian anak-anak saya tidak dibawa bersama, tetapi kemudahan itu juga digunakan oleh orang ramai untuk menukar lampin anak mereka.

“Kanak-kanak kecil ni kulitnya sensitif, jadi mereka mudah terdedah kepada alahan dan jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan penyakit,” katanya.

Dia membuat laporan berhubung kejadian itu kepada pusat khidmat pelanggan Plus Malaysia Berhad (PLUS) selaku pengendali R&R, pada hari yang sama, dan berharap agar perkara tersebut tidak berulang bagi menjaga keharmonian bersama.

Maklum balas PLUS berhubung kejadian.

Farah berkata, dia menerima maklum balas daripada PLUS pada pagi Isnin bahawa mereka memandang serius kejadian itu dan menghargai keprihatinannya.

PLUS menerusi mesej yang diterimanya menjelaskan mereka dengan segera telah menjalankan proses menyamak pada bilik tukar lampin tersebut dan akan memastikan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa.

“Papan tanda dan poster haiwan peliharaan tidak dibenarkan juga diletakkan di perkarangan kawasan rehat,” menurut kenyataan itu dan menyertakan beberapa gambar kerja-kerja menyamak di bilik lampin tersebut.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
R&R, anjing, PLUS Berhad

Artikel Lain