suria

“Kalau ada perikemanusiaan seorang anak…” - Ibu derita, rayu dikeluarkan dari rumah orang tua-tua

Maimon merayu agar anak-anaknya membawanya tinggal bersama.

"Nak, kalau sayangkan mak, ambil mak di rumah orang tua-tua. Mak tak nak duduk sini."

Begitu rintihan seorang wanita warga emas yang ingin mencari anak-anaknya kerana tidak mahu menghabiskan sisa hidupnya di pusat jagaan warga emas.

Posting video tersebut tular di Facebook selepas ia dimuat naik oleh seorang usahawan wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Sri.

Menerusi video berdurasi 31 saat itu, Maimon Abdul Hamid yang berusia 67 tahun merayu agar anaknya sudi membawanya tinggal bersama.

"Harapan mak jangan lupa... mak dah cukup menderita di sini.

"Kalau ada perikemanusiaan seorang anak...” katanya melalui rakaman tersebut.

Menurut wanita yang merakam video itu, dia berharap Maimon dapat bersatu dengan anak-anaknya untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai sebuah keluarga pada tahun ini.


Maimon kini tinggal di pusat jagaan warga emas di Johor Bahru.

"Saya cuma nak penuhi impian Makcik Maimon berjumpa semula anak-anak dia.

"Saya juga bukan nak jaga tepi kain orang , tapi terpaksa ambil jalan viral ini semata-mata nak tolong dia," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Tambah wanita yang menetap di Johor Bahru itu, dia dan rakan baiknya sering berkunjung ke pusat jagaan yang menempatkan Maimon selepas warga emas itu dibuang keluarga beberapa tahun lalu.

Menurut Sri, Maimon memiliki tujuh anak hasil daripada tiga perkahwinannya.

Selepas video tersebut tular, anak bongsu Maimon yang kini menetap di Batam, Indonesia berjaya dijejaki.

"Anak lelakinya hidup susah di Batam, tetapi sanggup berhijrah ke Malaysia untuk menjaga ibunya.

"Tetapi, masalah untuk mendapatkan permit pekerjaan bagi anak lelakinya itu mungkin timbul. Jadi, kalau ada sesiapa yang dapat hulur bantuan, dapatlah Makcik Maimon bersatu dengan anaknya," kata Sri.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pusat jagaan, Maimon Abdul Hamid

Artikel Lain