KEMURUNGAN atau depresi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, malah penyakit ini dianggap seperti 'bom jangka' kerana apabila ia sampai ke satu tahap, ia akan meletup. Perkongsian seorang gadis berusia 21 tahun mengenai kisah kemurungan yang dialaminya membuktikan ramai remaja di negara kita menghidap penyakit ini. Menurut Hannani Zainal, dia berdepan dengan penyakit kemurungan tahap serius, sehingga sanggup mencederakan diri sendiri. "Perasaan sunyi, berfikiran negatif, terlalu fikir apa yang orang akan cakap, diejek, rasa terbiar antara sebab saya menghadapi masalah ini. "Sejak di zaman sekolah menengah saya diejek kerana warna kulit yang agak gelap memandangkan sebelum ini saya tinggal di Afrika Selatan dengan cuaca yang lebih panas. "Tempoh empat hingga lima tahun merupakan fasa yang paling 'gelap' dalam hidup saya. Pada mulanya saya tidak berkongsi perasaan itu dengan keluarga, tapi lama-kelamaan saya tidak mempuyai pilihan dan terpaksa berterus-terang. "November lalu saya terlalu rasa tertekan, murung yang membuatkan saya mengelar lengan dengan pisau. "Bagi saya, perbuatan itu dibuat sebagai hukuman kepada diri sendiri kerana rasa diri saya tidak cukup bagus dari segi hubungan persahabatan, percintaan dan juga dengan keluarga. "Saya rasa lega selepas buat macam tu," imbas Nani mengenai tahap penyakitnya itu kepada mStar Online. Nani turut mendapat sokongan daripada pengguna Twitter dengan mendapat ulang kicau lebih 8,000. Jelas anak sulung daripada lima orang adik beradik ini, selepas kejadian tersebut, dia mula bersetuju untuk menerima rawatan pakar psikiatri. "Pada mulanya saya enggan kerana kos rawatan sekali pertemuan mencecah RM200 untuk satu sesi. "Saya juga dimasukkan ke wad psikiatri selama seminggu. Tempoh berada di sana memberi kesan kepada saya dan dengan sokongan keluarga, saya semakin pulih walaupun perlahan-lahan. "Saya memegang kata-kata ibu saya, 'kalau nak baik, kena buat rawatan'. Jadi saya teruskan rawatan secara konsisten. "Namun doktor ada beritahu bahawa saya berdepan dengan penyakit baharu iaitu mood berubah-ubah. "Jadi sekarang ini saya terpaksa hidup dengan tiga jenis ubat iaitu, kemurungan, ubat tidur dan mood berubah-ubah," katanya. Walaupun konsisten dengan rawatan, Nani percaya dia tidak boleh bergantung dengan ubat-ubatan sahaja. Sebahagian daripada netizen yang turut berkongsi tindakan kelar lengan akibat kemurungan. "Ubat adalah pilihan kedua. Kalau mahu sembuh saya perlu mengubah cara hidup harian. "Jadi kini saya banyak menyertai aktiviti sihat seperti Muay-Thai, pergi gimnasium dan berenang. "Selain itu, sokongan daripada keluarga, kawan-kawan juga mendorong saya untuk menjadi lebih positif. "Saya juga gembira kerana sejak berkongsi kisah ini di Twitter, ramai yang memberi sokongan walaupun ada juga yang memanggil saya bodoh dan sebagainya. "Ada juga yang mesej peribadi (DM) yang berkongsi masalah sama dan mahu sembuh daripada penyakit ini. "Paling mengejutkan saya, terutama remaja yang berkongsi gambar mengelar lengan kerana masalah sama. "Apa yang saya nak tekankan di sini, ia bukan satu trend tetapi membuktikan ramai remaja yang berada dalam masalah ini. "Apa yang boleh saya cakapkan bahawa penyakit ini boleh sembuh tetapi perlu sokongan dari rumah. Ibu bapa jangan abaikan sekiranya anak-anak cuba berkongsi masalah. "Mentaliti orang ramai juga perlu berubah kerana persepsi mereka apabila meneri rawatan psikiatri adalah orang gila. Itu sebenarnya tidak betul," jelas pelajar di sebuah institut pengajian tinggi ini.