suria

“Zapin je kot, tak kan viral?” - Pengantin lelaki pelik video bersanding hampir setahun tiba-tiba tular

Muhammad Amiruddin (kanan) ketika membuat persembahan tarian zapin pada majlis persandingannya.

RAKAMAN seorang pengantin lelaki yang segak memakai persalinan songket rona biru tular di media sosial gara-gara aksi selambanya mempersembahkan tarian zapin pada hari persandingannya.

Pengantin lelaki itu pada awalnya kelihatan terpinga-pinga ketika tangannya tiba-tiba ditarik tiga pemuda untuk turut serta menari.

Muhammad Amiruddin Misro, 25, berkata rakaman yang tular itu sebenarnya merupakan video lama yang diambil pada majlis perkahwinannya tahun lalu.

"Video tu sebenarnya masa majlis persandingan saya dan isteri pada 21 April 2018.

"Saya buat persembahan tu secara mengejut dan tidak dirancang, isteri saya pun tak tahu," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu.

Video tersebut dimuat naik semula oleh seorang pelayar Twitter @AkeemSharyzal pada Isnin dan meraih lebih 400,000 tontonan.

Jelas pengantin berkenaan, ketiga-tiga lelaki dalam video tersebut merupakan sahabat baiknya sejak dari sekolah.

Dia mengakui terkejut selepas mengetahui video itu tular minggu ini kerana menganggap tarian zapin tersebut bukanlah suatu perkara yang luar biasa.

Zapin je kot, tak kan viral? Cuma, mungkin penonton rasa penyampaian saya ikhlas.

MUHAMMAD AMIRUDDIN

"Perasaan saya memang terkejut dan tak jangka sebab ini benda biasa bagi saya, tapi bila ia ditularkan saya jadi pelik.

"Zapin je kot, tak kan viral? Cuma, mungkin penonton rasa penyampaian saya ikhlas.

"Sebenarnya isteri memang ada minta saya untuk menari pada majlis kami, tapi saya cakap tak boleh kerana saya pengantin," ujarnya.

Menurut Muhammad Amiruddin, dia merupakan seorang penari zapin sejak di bangku sekolah.

Muhammad Amiruddin merupakan seorang penari zapin sejak di bangku sekolah.

Jelasnya, walaupun setiap pergerakan dalam video itu nampak seiring, Muhammad Amiruddin memberitahu bahawa dia tidak berlatih untuk membuat persembahan itu kerana ia merupakan langkah asas dalam tarian zapin.

Bagaimanapun, dia kini tidak lagi aktif membuat persembahan zapin kecuali pertandingan besar yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor dan Festival Tari Malaysia.

Selain zapin, pemuda yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu juga boleh membuat tarian inang dan joget.

Bakatnya dalam tarian tradisional diwarisi daripada bapanya dan kemudian bergiat aktif sejak 2005.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
zapin

Artikel Lain