KEHADIRAN kumpulan K-pop Blackpink ke Malaysia sempena konsert jelajah selama dua hari pada hujung minggu lalu menjadi topik perbualan utama netizen di media sosial. Antara yang mendapat perhatian tentunya komen pelakon Abby Abadi menerusi laman Instagram yang mempersoalkan tentang ketidaksamaan garis panduan sehingga dia membuat perbandingan antara konsert Blackpink dengan Selena Gomez yang berlangsung pada 2016. "Haritu Selena Gomez bukan main huru hara sampai buat solat hajat depan stadium. Yang ni?" tulisnya sambil menyertakan beberapa tanda pagar termasuklah #demojanganbermusim. Menerusi perkongsian itu, Abby turut menyentuh pemakaian skirt anggota Blackpink yang disifatkannya 'pendek nauuuuuu' sehingga menarik perhatian segelintir peminat tempatan. Paparan skrin kenyataan Abby Abadi menerusi laman Instagram miliknya berhubung kumpulan Blackpink. Di laman Twitter misalnya, beberapa peminat tampil bersuara dan memberikan pendapat mereka berhubung perkara itu. Musriman Mustakim, yang turut hadir pada malam kedua konsert turut meluahkan pendapatnya mengenai pemakaian Blackpink. Dia sewaktu dihubungi mStar Online memuji kumpulan itu yang sedaya upaya cuba menghormati budaya tempatan dengan mengubah beberapa kostum asal pada konsert itu. Antara komen netizen di Twitter. “Kalau dibandingkan dengan persembahan mereka di negara lain, mereka ada ubah pakaian untuk lebih sopan sewaktu berada di Malaysia. “Pada saya tidak terlalu seksi, just fine. Tidak menjolok mata pun. Bila orang suarakan pendapat, saya tanya balik, bahagian mana yang seksi? “Selain pakaian, Lisa (penyanyi rap Blackpink) misalnya turut mengubah sedikit tarian solonya agar tidak terlalu seksi untuk peminat Malaysia,” ujar Musriman yang lebih mesra disapa Iman ketika dihubungi pada Isnin. Iman (dua,kiri) bersama kakaknya dan beberapa peminat Blackpink. Pada malam Ahad, Iman turut ditemani kakaknya yang terbang khas dari Sabah ke ibu negara untuk menyaksikan konsert berkenaan. Menurut pemuda berusia 26 tahun itu, dia hairan apabila ada yang mempertikaikan pemakaian anggota Blackpink sedangkan ada artis Malaysia yang sering mengenakan pakaian lebih seksi. “Blackpink itu artis luar, tapi mereka juga peka dengan budaya tempatan. Takkan la nak jangka mereka buat persembahan pakai baju kurung? “Kenapa tak tegur artis tempatan? Kenapa nak timbulkan isu yang tak ada isu pun sebenarnya? Banyak lagi isu penting di negara ini. Lebih baik jaga hal masing-masing. “Bagilah peluang, mereka datang jarang-jarang sekali. Peminat K-pop tak kacau orang pun, guna duit sendiri. Setiap orang ada hobi masing-masing,” katanya lagi. Selain konsert Blackpink, Iman pernah menghadiri konsert kumpulan WINNER pada tahun lalu. Berkongsi pengalamannya di konsert itu, Iman mengakui wang RM600 yang dibelanjakan untuk dua keping tiket konsert tersebut sememangnya berbaloi dan cukup memuaskan hati. “Ia melebihi jangkaan saya. Saya fikir mereka akan penat sebab konsert dua hari berturut-turut. “Tapi mereka bagi persembahan terbaik, saya pun ikut sama menyanyi dari awal sampai habis konsert. Saya harap mereka akan datang lagi selepas ini. “Ada yang persoal, apa yang best mengenai Blackpink? Pada saya, mereka banyak peningkatan dari awal, cukup terlatih, berbakat,” ujarnya yang meminati Jisoo. Blackpink dianggotai Lisa (paling kiri) diikuti Jisoo, Rose dan Jennie. Selain Malaysia, konsert jelajah dunia Blackpink 2019 - In Your Area turut diadakan di Bangkok, Jakarta, Hong Kong, Manila dan Singapura. Blackpink yang mula diperkenalkan secara rasmi pada 2016 bernaung di bawah syarikat YG Entertainment bersama kumpulan BIGBANG, 2NE1, Winner dan iKON. Antara lagu Blackpink yang popular termasuklah Playing With Fire, Ddu-du Ddu-du, Bombayah, Whistle dan Forever Young.