suria

Ibu menjerit terkejut terima tiket konsert, anak pula teruja dapat komen Tok Ti “comelnya mak”

Fatin Syahira dan ibunya amat meminati Siti Nurhaliza.

REAKSI seorang ibu yang menjerit kegembiraan selepas menerima sampul surat daripada anaknya menjadi tular di media sosial.

Wanita yang masih bertelekung kerana baru selesai mendirikan solat itu seolah-olah tidak percaya apabila anaknya, Fatin Syahira Samsuri, 26, membuat kejutan dengan memberikan tiket Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019.

Posting yang dimuat naik di Twitter dan Instagram itu meraih lebih 60,000 tontonan sejak ia dimuat naik pada Ahad.

Kata Fatin Syahira yang mesra disapa Mira itu, mereka sekeluarga memang meminati Siti Nurhaliza dan telah lama berhasrat untuk menonton konsert penyanyi nombor satu negara tersebut secara langsung.

“Mama memang minat sangat dengan Siti, sebab tu saya buat kejutan untuk dia. Ini kali pertama kami berdua akan menghadiri konsert Siti.

“Saya kumpul duit dah lama untuk bawa mama ke konsert ni dan kakak juga ada beri sedikit wang untuk tambah buat belikan tiket,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Mereka berdua merupakan peminat setia Siti Nurhaliza.

Selepas video reaksi ibunya itu tular, Fatin Syahira terkejut apabila melihat telefon bimbitnya dibanjiri dengan notifikasi.

Tambah mengujakan, posting tersebut turut mendapat perhatian Siti Nurhaliza yang meninggalkan komen kepadanya di Instagram.

“Subhanallah… Comelnya mak! Love you both (sayang anda berdua). Kak Iti (Siti Nurhaliza) pula rasa nak menangis,” tulis isteri Datuk K itu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu sedang menghadiri mesyuarat ketika menyedari Siti Nurhaliza meninggalkan komen berkenaan.

Fatin Syahira merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

“Bayangkan masa tu dalam bilik mesyuarat, semua orang sedang serius. Tapi, saya rasa nak menjerit kerana tak percaya Siti akan komen.

“Memang tak senang duduk dibuatnya,” kata pegawai komunikasi korporat syarikat swasta yang berkhidmat di Putrajaya itu.

Tambah Fatin Syahira, dia dan ibunya sering mendendangkan lagu Siti Nurhaliza ketika berkesempatan mengunjungi pusat karaoke.

Wanita berkenaan terpaksa merahsiakan selama hampir sebulan sebelum memberikan tiket konsert tersebut kepada ibunya kerana enggan ‘merosakkan’ kejutan yang amat bermakna itu.

Pasangan anak beranak itu akan menyaksikan Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 itu pada 16 Mac nanti.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Siti Nurhaliza

Artikel Lain