suria

Tak dibenar kerja sambilan, penuntut IPT berjurai air mata terima 'karangan sayu' ayah

PASTI ada dalam kalangan kita yang pernah mengambil peluang bekerja secara sambilan sewaktu menjadi penuntut universiti semata-mata untuk mengumpul wang saku, selain mengurangkan beban keluarga.

Selain faktor kesempitan hidup, ada juga yang berbuat demikian kerana enggan mengharapkan duit ibu bapa sendiri.

Terbaharu, kisah seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang tidak mendapat kebenaran bapanya untuk bekerja secara sambilan menjadi tular di laman Twitter.

Menerusi posting itu, Khairun Najihah Aripin memuat naik paparan skrin perbualan WhatsApp antara dia dan bapanya sehingga menyentuh hati pelayar laman sosial itu.

Menurut gadis kelahiran Batu Pahat, Johor itu, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima mesej panjang lebar yang menyebabkan dia menitiskan air mata ketika berada di rumah sewanya.

Paparan skrin perkongsian Jiha di Twitter.

“Saya pulang awal ke kampus sebab ada projek tahun akhir (FYP). Jadi saya terfikir untuk bekerja secara sambilan.

“Saya pun jenis tak suka nak minta duit ibu ayah. Pada mulanya saya tanya ibu untuk bekerja, dia tak bagi.

“Bila saya tanya ayah, dia hantar mesej katakan dia susah hati, cuma ayah jarang cakap hal berkaitan perasaannya itu. Saat itulah terus saya menangis berjurai air mata,” ujar gadis berusia 22 tahun itu sewaktu dihubungi mStar Online pada Selasa.

Menerusi perbualan itu, bapa Jiha, Aripin Jelani, 50, tidak mahu anaknya susah hati memikirkan soal kewangan kerana dia masih mampu menyara keluarga.

Jiha (kiri) bersama ibu dapa dan kakak serta adiknya.

Tambah Aripin yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Majlis Perbandaran Batu Pahat, dia mahu Jiha fokus terhadap pelajaran memandangan dia kini berada di tahun akhir pengajian dalam bidang Teknologi Persekitaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor itu.

Lebih menyentuh hati, dia turut berpesan kepada Jiha supaya melakukan solat sunat taubat, solat hajat dan membaca surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali selepas solat Maghrib menerusi mesej tersebut.

“Saya bersyukur dikurniakan ayah seperti ini, kami sekeluarga bukanlah jenis suka tunjuk kasih sayang menerusi kata-kata, tapi kami memang rapat.

“Bila dapat mesej tu, terus nangis. Saya pun suka-suka kongsi di Twitter. Tak sangka ramai tersentuh dan boleh relate dengan diri sendiri.

“Lagi sedih bila ramai cakap saya beruntung ada ayah macam ni. Pada saya, semua orang pun beruntung juga ada ayah masing-masing,” ujar Jiha lagi.

Jiha bersama bapanya, Aripin Jelani.

Dalam pada itu, posting Jiha di Twitter yang menerima lebih 13,000 ulang kicau (Retweet) turut dihujani komen netizen yang berkongsi kisah hampir sama.

“Wehh sama laaa, abah pun tanya jugak haritu, tak cukup ke abah bagi duit belanja dekat abangcik selama ni? Dengan suara sayu dia... Nak terkeluar air mata jantan ni,” tulis @syamlrafee.

“Sama. Setiap kali nak kerja mesti abah tak bagi, abah akan cakap “abah ada kudrat nak bagi rezeki lagi dekat anak-anak jadi jangan cabar macam abah tak mampu tau” dengan setiap kali call mesti tanya duit cukup ke tak bila orang kata cukup tetap kata nak tambah juga,” tulis @blessedshidah.

“Ayah-ayah memang tulis macam ni. I can relate. Sayang anak tu tapi susah sikit nak luahkan dan dia ada cara dia sendiri nak tunjuk dia sayang,” tulis @ahmadhafiz pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain