SEORANG pereka grafik mendakwa nyaris kerugian hampir RM1,500 ketika menempah televisyen pintar bersaiz 65 inci menerusi sebuah aplikasi platform e-dagang terkemuka. Mohd Faiz Zarizi Mohd Azli, 32, yang pada mulanya teruja dengan harga rendah ditawarkan oleh peniaga tersebut bertukar fikiran selepas mengesyaki dirinya cuba ditipu. "Saya memang selalu beli dengan S***** dan kebiasaannya mereka akan hantar kod verifikasi jika log masuk kali pertama menggunakan komputer berbeza. "Tapi yang saya pelik bila dapat SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk meminta kod verifikasi selepas membuat transaksi, padahal ia bukan kali pertama saya log masuk di komputer tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Perkongsiannya tentang taktik terbaru yang dipercayai scammer di platform tersebut menjadi tular di Facebook selepas dimuat naik pada Ahad. Tawaran TV pintar 65 inci yang hampir membuatkan Mohd Faiz Zarizi terpedaya. Posting berkenaan meraih lebih 9,200 perkongsian dan mendapat lebih 2,500 tanda suka. Bapa kepada seorang puteri itu bertambah yakin bahawa ia merupakan taktik baharu scammer untuk menipu pelanggan selepas mendapati terdapat ulasan meragukan di profil peniaga tersebut. "Yang buat saya bertambah yakin mereka ini scammer adalah akaun peniaga itu baru dibuka sembilan hari sebelum saya buat transaksi. "Pada awalnya, saya tengok tiada feedback daripada pelanggan. Namun, sehari selepas membuat tempahan, tiba-tiba ada ulasan pelanggan dengan komen yang bagus-bagus, tetapi gambar produk yang diterima tidak sama dengan yang diiklankan," jelasnya. Kemudian, Mohd Faiz Zarizi terus membuat permohonan untuk mendapatkan bayaran balik daripada pengendali platform e-dagang tersebut. Peniaga itu turut menghubungi Mohd Faiz Zarizi menerusi aplikasi Whatsapp untuk memintanya memberikan kod verifikasi berkenaan. Scammer itu dikhuatiri mendaftar akaun palsu di platform tersebut untuk tujuan memperdaya pelanggannya. Insiden itu membuatkan Mohd Faiz Zarizi bimbang sekiranya pengguna lain turut diperdaya menggunakan taktik yang sama. "Saya rasa orang yang pertama kali nak beli online akan lebih mudah tertipu. Elok dapatkan nasihat daripada orang yang sudah biasa beli online untuk elak ditipu dengan mudah. "Bagi S***** pula, kena tapis betul-betul peniaga yang berdaftar dengan mereka untuk elak perkara seperti ini berulang," ujarnya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor.