suria

Pemuda berang, individu menyamar dirinya kaut untung atas angin

Amirul Asyraf dan Allahyarhamah isterinya pada majlis persandingan mereka yang berlangsung Januari lalu.

BELUM sembuh lara di hati selepas pemergian isteri tercinta yang baru dinikahi kurang empat bulan, seorang pemuda terkejut apabila ada individu tergamak mengambil kesempatan di atas situasi yang menimpa dirinya.

Pemilik bengkel kereta, Amirul Asyraf Amat Shastri, 25, berkata, adik lelakinya Shazmeer Adam, 23, memaklumkan ada individu yang menyamar sebagai abangnya dan meminta wang sebanyak RM800 untuk dipindahkan ke sebuah akaun bank.

Shazmeer Adam mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana nombor telefon yang digunakan 'abangnya' itu adalah nombor yang tidak dikenali.

Selain adiknya, kakak ipar dan seorang kenalan turut didekati individu berkenaan dengan menggunakan modus operandi sama.

"Orang itu cuba mengundang simpati dan empati orang yang rapat dengan saya dengan memberitahu saya memerlukan wang segera.

"Dia guna alasan akaun yang digunakannya untuk memindahkan wang sudah 'over limit' (lebih had) dan terpaksa meminta mangsa memindahkan wang ke nombor akaun yang diberikan," katanya kepada mStar Online.


Allahyarhamah Farah Najwa menghembuskan nafas terakhir setelah hampir empat bulan bergelar isteri.

Lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu tular di media sosial selepas bapanya, Shastri Rathi memuat naik posting mengenai Farah Najwa Zakaria, 25, meninggal dunia gara-gara diserang demam panas pada awal Februari lalu.

Melalui posting tersebut, Shastri meluahkan kesedihannya setelah kehilangan menantu yang periang dan sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Catatan yang amat menyentuh perasaan itu tular sehingga mendapat lebih 1,200 tanda suka di Facebook sejak ia dimuat naik pada 24 Februari lalu.

Farah Najwa menghebuskan nafas terakhir pada 12 Februari lalu setelah bertarung nyawa selama enam hari di hospital.

Tambah Amirul Asyraf, dia telah membuat laporan polis berhubung tindakan individu tidak dikenali yang cuba memperdaya orang lain dengan menggunakan nama dan gambarnya.

Orang itu cuba mengundang simpati dan empati orang yang rapat dengan saya dengan memberitahu saya memerlukan wang segera.

AMIRUL ASYRAF

Susulan insiden tersebut, anak sulung daripada dua beradik itu memuat naik posting di Facebook bagi menyedarkan rakan-rakannya supaya berwaspada dengan individu yang menyamar sebagai dirinya.

"Sebaik saya muat naik posting itu, ada seorang rakan daripada 'group' kereta PM (pesanan peribadi) minta nombor telefon saya, rupa-rupanya dia dah terkena.

"Kawan saya maklumkan dia sudah memindahkan wang sebanyak RM800 kepada individu yang menyamar itu, sehari sebelum saya tulis status amaran tersebut di Facebook," jelasnya.

Kata Amirul Asyraf, setakat ini hanya seorang mangsa yang diketahuinya telah termakan umpan individu terbabit.

Menurut graduan Diploma Teknologi Sukan Permotoran Kolej Otomotif di Petaling Jaya itu lagi, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada polis untuk siasatan lanjut dan berharap tiada lagi yang menjadi mangsa penipuan individu terbabit.

Assalamualaikum,so today i recieved this message from my brother,someone is using my picture from Facebook and ask for...

Posted by Amirul Licap on Wednesday, February 27, 2019
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Amirul Asyraf, Farah Najwa

Artikel Lain