suria

Gadis tak tahan diganggu suami orang, dedah terima mesej tak senonoh

Gambar dari Twitter @mxddoxrebel

BERANG sering diganggu beberapa lelaki dipercayai suami orang, seorang gadis bertindak mendedahkan lebih 20 mesej tidak senonoh yang diterimanya di laman Twitter sejak Isnin lalu.

Selain diganggu, Nur Maisarah Moktar mengakui dia pernah diserang isteri kepada lelaki berkenaan dan dituduh sebagai perosak rumah tangga orang lain.

Malahan gadis berusia 25 tahun ini sering menerima komen-komen berbaur lucah termasuk gambar tidak senonoh daripada lelaki yang sudah berkahwin.

"Tiada niat nak screen shot dan malukan mereka, tapi disebabkan dah makin ramai dan melampau, saya rasa ini salah satu cara untuk beri amaran kepada mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tangan menggeletar masa rakam” - Gadis hanya ingat pesan papa, ‘standby’ bukti gangguan seksual

"Saya rasa sangat geram dan marah. Ianya terlalu banyak, saya tak tahan kerana mereka buat saya rasa tak selesa sehingga tak boleh tidur malam.

"Lebih mengejutkan ada diantara mereka yang berstatus suami, dan ada yang berwatakan alim. Saya pernah dituduh mengganggu rumah tangga orang, padahal suami mereka yang kacau saya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Antara mesej dan gambar lucah yang diterima Maisarah di laman Twitter miliknya.

Maisarah yang bekerja sebagai pembantu pentadbir di sebuah firma pengambilan pekerjaan di ibu negara memberitahu, hampir setiap hari dia menerima dua hingga tiga mesej tak senonoh yang dihantar kepadanya sehingga lewat malam.

Bagaimanapun dia yang mahu berkongsi mengenai gangguan seksual yang dialaminya itu sebaliknya disalah erti apabila dipersalahkan gara-gara tidak bertudung.

"Yang membuatkan saya terkilan apabila ada pihak yang meletakkan kesalahan itu kepada saya, sebab saya tidak menutup aurat.

"Hakikatnya, wanita sering menjadi sasaran lelaki seperti ini. 

"Lelaki perlu sedar mereka seharusnya belajar menghormati wanita waimah dia berpakaian seperti apa sekalipun," ujarnya.

Nur Maisarah Moktar.

Tambah Maisarah, gangguan seksual melalui media sosial seperti ini bukan perkara baharu malah ramai gadis yang berdepan masalah ini tidak berani untuk bertindak membuatkan ia sukar dibendung.

"Gangguan seperti ini bukan saya seorang saja yang kena malah ramai lagi gadis di luar sana yang berdepan situasi sama.

"Walaupun ia dilakukan melalui sosial media, wanita di luar sana perlu tahu ia sebenarnya gangguan seksual.

"Ada sesetengah menganggap perempuan cantik normal la kena kacau. Ia sebenarnya tidak normal dan kita mesti lakukan sesuatu daripada membiarkan ia terus berlarutan," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Maisarah, gangguan seksual

Artikel Lain