SEORANG gadis terkejut selepas telefon bimbitnya tidak putus-putus menerima mesej dan panggilan telefon daripada orang tidak dikenali bertanyakan mengenai pertandingan tidur dalam kubur yang dikendalikan individu yang dikenali sebagai Encik Selamat. Julie Christine Martin memberitahu pada awalnya dia tidak mengendahkan mesej pertama berhubung pertanyaan itu yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp kerana memikirkan ia hanyalah perbuatan scammer. Namun gadis berusia 21 tahun itu merasakan ada sesuatu tidak kena selepas dia menerima panggilan dan mesej tanpa henti sejak nombor telefonnya yang didakwa sebagai penganjur pertandingan tersebut tersebar di media sosial. "Saya mula terima mesej dan beberapa panggilan sejak pukul 9 pagi semalam. Mereka ingat saya Encik Selamat (penganjur) tanya saya pasal pertandingan dan kononnya berminat nak menyertainya. "Bila orang pertama mesej saya melalui WhatsApp saya masih ok lagi... saya hanya fikir mungkin dia tu scammer. "Namun bila dah start ada yang call kemudian makin lama makin banyak mesej di WhatsApp dari nombor yang tidak dikenali saya jadi gelabah," katanya kepada mStar Online. Julie turut membuat penafian berhubung perkara itu di Facebook miliknya. Menurut Julie, dia menerima hampir 2,000 mesej di WhatsApp sejak pagi Rabu. "Banyak sangat... hampir 2,000 mesej di WhatsApp sampai telefon bimbit saya jadi hang," katanya. Namun Julie yang berasal dari Sabah menafikan dia ada kaitan dengan pertandingan tersebut. "Saya tidak tahu menahu mengenai pertandingan ini. Ada orang sengaja letak nombor telefon bimbit saya dalam iklan tersebut. "Saya bukan penganjur pertandingan itu. Saya hanyalah seorang pelajar di sebuah universiti awam di Sabah. Saya minta anda semua supaya berhenti sebar iklan itu atau hubungi saya berkaitan perkara ini," katanya. Julie sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada petang Rabu. - Foto ihsan Julie Christine Martin. Susulan itu, gadis berketurunan Kadazan berkenaan terpaksa mendapatkan nombor telefon baharu kerana tidak mahu terus diganggu. "Saya terpaksa tukar nombor telefon untuk WhatsApp. Nombor yang tersebar itu masih ada cuma saya letak dalam status airplane mode. "Syukur selepas saya tukar (nombor telefon) tiada lagi mesej dan panggilan pelik daripada orang tidak dikenali," katanya. Julie turut kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan nombor telefon bimbitnya untuk tujuan tidak baik. "Saya sudah buat laporan polis mengenainya. Saya juga minta bantuan kawan-kawan up posting saya untuk jelaskan perkara sebenar. "Saya kesal kerana tindakan tersebut menyebabkan orang berfikiran tidak baik terhadap saya. Saya harap agar orang ramai tidak tertipu dan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya. Saya terpaksa tukar nombor telefon untuk WhatsApp. Nombor yang tersebar itu masih ada cuma saya letak dalam status airplane mode. JULIE CHRISTINE MARTIN Pada Rabu, netizen dikejutkan dengan iklan pertandingan tidur dalam kubur yang didakwa akan diadakan pada 23 Mac ini di kawasan perkuburan Hulu Langat, Selangor. Posting mengenai pertandingan tersebut menjadi tular di media sosial kerana dianggap rare dan menyeramkan. Menerusi posting tersebut juara pertandingan itu bakal menerima hadiah pakej menunaikan umrah dan wang tunai RM5,000. Pertandingan tersebut yang dianjurkan seorang individu dengan nama Encik Selamat didakwa diadakan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai kematian. Iklan pertandingan tidur dalam kubur yang tular di media sosial sejak Rabu.