BENARLAH bagai dikata, ada ketikanya rezeki itu datang dengan cara yang tidak disangka-sangka dan kadangkala ia sungguh misteri. Kejadian yang dialami oleh seorang pegawai khidmat pelanggan tular di Facebook selepas wanita itu memuat naik perkongsian mengenai sedekah yang disampaikan individu tidak dikenali. Menceritakan insiden itu, Nur Aqeela Mohamed Ridzuan mengaku dia menggigil akibat terlalu terkejut apabila membaca nota oleh 'pemberi misteri' yang turut mendermakan wang tunai sebanyak RM150 kepadanya untuk menghidupkan cukai jalan. Posting tersebut meraih perhatian netizen dan tular di beberapa blog dan portal tanah air sejak ia dimuat naik pada Isnin lalu. Kata wanita yang menetap di Presint 9, Putrajaya itu, pada mulanya dia berasa takut untuk membuka nota tersebut yang diletakkan dalam sampul plastik merah lutsinar dan diselitikan di bawah pengelap keretanya kerana bimbang ada orang berniat tidak baik terhadapnya. Nota dan wang RM150 itu dimasukkan ke dalam sampul berwarna merah lutsinar oleh pemberi misteri tersebut. "Sekarang ni kan kita dengar ada macam-macam cerita orang nak buat khianat. Saya takut kalau-kalau apa yang dihantar tu sihir. "Jadi, saya terus berikan sampul itu kepada kawan saya yang kebetulan berada di kawasan parkir yang sama dan minta dia baca nota tersebut," katanya wanita berusia 27 tahun itu kepada mStar Online. Namun, sangkaan anak jati Kota Bharu, Kelantan tersebut nyata meleset sama sekali, malahan dia tidak percaya ada insan yang sanggup mendermakan wang sebanyak itu kepadanya. Jelas Nur Aqeela, dia sudah lama tidak memandu kereta tersebut kerana sejak ia rosak pada Disember tahun lalu manakala cukai jalan tamat tempoh pada 19 Januari lalu. Apa yang menghairankan, pemberi misteri tersebut seolah-olah mengenali Nur Aqeela kerana mendakwa mengenalinya berdasarkan kepada nota ditulis. Sekarang ni kan kita dengar ada macam-macam cerita orang nak buat khianat. Saya takut kalau-kalau apa yang dihantar tu sihir. NUR AQEELA "Hai, maaf ganggu ye! Jangan pelik ada duit dalam ni. Saya tidak tahu siapa pemilik kereta antara kalian. "Antara dua, sebab selalu tengok berdua je (tidak selalu pun). Anggap ini amal jariah saya," tulis pemberi misteri tersebut sambil menambah bahawa ia merupakan pemberian daripadanya dan rakan-rakannya yang lain. Pemberi misteri tersebut turut memberitahu bahawa dia melakukan kebajikan untuk sesiapa sahaja. "Saya tengok road tax (cukai jalan) kereta belum renew (perbaharui) lagi. Harapnya duit ini boleh support (tampung) serba sedikit kos," menurut catatan pemberi misteri tersebut. Jelas Nur Aqeela, dia masih tercari-cari gerangan individu tersebut kerana ingin berterima kasih di atas kebaikan yang dilakukannya. Bagi wanita berkenaan, jumlah yang disedekahkan itu terlalu besar dan dia akan melunaskan amanah individu terbabit untuk menggunakan wang tersebut bagi memperbaharui cukai jalan kenderaannya. Kiri: Nota daripada pemberi misteri tersebut. Kanan: Nota balasan daripada Nur Aqeela. Bagaimanapun, wanita itu berasa terkilan apabila ada pengguna media sosial mendakwa dia sengaja mereka cerita kerana turut meninggalkan nota untuk pemberi wang misteri tersebut dengan menggunakan kertas yang sama. "Dalam sampul itu ada dua keping kertas, satu kertas yang ada lukis 'emoji' senyum dan sekeping lagi barulah nota daripada pemberi misteri tersebut. "Masa tu dah nak masuk waktu Maghrib, saya tiada kertas lain untuk balas nota tersebut. Maka, saya gunakan kertas yang ada emoji tu untuk tulis nota bagi tujuan berterima kasih kepada orang berkenaan," jelasnya. Ketika ditanya sama ada dia juga gemar bersedekah sehingga menerima balasan seperti itu, Nur Aqeela berkata dia sememangnya memperuntukkan sebahagian daripada gajinya untuk menderma kepada mereka yang memerlukan. "Saya memang selalu asingkan duit gaji setiap bulan sejak mula bekerja khusus untuk tujuan bersedekah. "Kalau terbaca orang kongsi pasal nak mintak derma atau bantuan, saya akan hulur ikut kemampuan. Ini yang Mama ajar kepada anak-anaknya," kata Nur Aqeela.