suria

Siswa terbang ke Paris untuk mengopi rupanya parodi, tapi siapa tahu mungkin lepas ni ke Manchester tengok bola!

TINDAKAN dua pemuda yang secara spontan menaiki penerbangan ke Paris, Perancis semata-mata untuk minum kopi mengundang pelbagai reaksi netizen.

Semuanya gara-gara perbualan dua rakan karib itu mengenai rancangan saat akhir yang dimuat naik di laman sosial Twitter sehingga menjadi tular.

Waffy: Bid, hujung minggu ni kau free tak?

Bid: Ada apa? Free je.

Waffy: Nak ajak minum kopi. Kat Paris, jom.

Bid: Kejap, aku check tiket penerbangan murah. 

Waffy: Ok.

Bid: Aku dah tempah tiket!

Waffy: Eh serious? Mana?

Perbualan antara Abid dan Waffy mengenai pelan minum kopi di Paris.

Perkongsian di Twitter itu turut dimuat naik pengesahan tiket penerbangan mereka ke Paris dan gambar mereka minum kopi berlatarkan mercu tanda Paris, Menara Eiffel.

Ekoran kekecohan tersebut, pemuda bernama Bid itu kemudian menjelaskan ia sekadar parodi kepada rancangan spontan yang dilakukan seorang personaliti media sosial ke Itali, baru-baru ini.

Bid atau lebih dikenali sebagai Abid Sabarudin, 23, memberitahu, ia hanya gurauan berbaur sindiran yang dibuat sekadar suka-suka sebagai hiburan.

Pengesahan tiket penerbangan yang dimuat naik di Twitter bersama perkongsian berbentuk parodi.

Namun pemuda ini mengakui kini berada di Perancis, bersama dua rakannya yang mahu dikenali sebagai Wafiudin Omar, 22, dan Arisya, 21 sejak 1 Mac lalu.

“Memang kami ada di Perancis sekarang, selepas dipilih untuk menyertai program pertukaran budaya di sini kerana kami fasih berbahasa Perancis.

“Gambar minum kopi berlatarkan Menara Eiffel tu diambil pada 5 Mac lalu. Tak ada plan secara spontan ke Paris semata-mata untuk minum kopi, tetapi memang kami pergi pada saat akhir apabila tiket penerbangan ditempah dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas,” katanya kepada mStar Online

Abid (kiri) dan Waffy dalam pesawat bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Paris, 1 Mac lalu. Foto ihsan Abid Sabarudin

Abid yang kini berada di Chambery, kira-kira 600 kilometer dari Paris berkata, dia dan Wafiudin atau mesra dipanggil Waffy merupakan rakan karib sejak kecil.

Menurut pelajar jurusan hartanah ini, setakat ini dia dan Waffy pernah membuat rancangan spontan bersama memandu ke Pulau Pinang untuk menikmati nasi kandar.

Baginya, rancangan secara spontan tidak salah untuk dilakukan selagi ada usaha dan kemampuan, termasuk persetujuan dan persefahaman bersama.

“Tak salah pun kalau memang nak terbang ke Paris semata-mata untuk minum kopi kalau mampu. Janganlah sampai berhutang sebab nak berseronok sana sini,” katanya.

Tak salah pun kalau memang nak terbang ke Paris semata-mata untuk minum kopi kalau mampu. Janganlah sampai berhutang sebab nak berseronok sana sini

Abid Sabarudin

Siswa

Tiga anak muda di Chambery, Perancis bagi mengikuti program pertukaran budaya.

Walaupun bukan pelan secara spontan, namun Abid yang merupakan anak sulung daripada empat beradik ini amat bersyukur dapat menikmati kopi bersama rakan karibnya itu berlatarkan Menara Eiffel.

“Kami memang rapat sejak kecil sebab ibu bapa kami dah lama kenal. Banyak aktivti dilakukan bersama seperti bermain permainan video PlayStation.

“Kami juga merupakan menyokong kelab bola sepak Manchester United. Kalau ada masa, memang kami menonton perlawanan bersama,” ujarnya.

(gambar kecil) Abid dan Waffy merupakan rakan karib sejak kecil. (gambar besar) Kedua-dua sahabat ini mengimpikan untuk menonton perlawanan Manchester United di Old Trafford. Foto Reuters

Mengenai Manchester United, Abid berasa terkilan kerana tidak berpeluang untuk menyaksikan pasukan itu menewaskan kelab gergasi perancis, Paris Saint-German (PSG) pada malam Rabu lalu, waktu tempatan di Paris.

Selain tidak mempunyai tiket perlawanan, mereka juga terikat dengan jadual dan ketika itu dalam perjalanan ke Chambery untuk program pertukaran budaya.

“Tapi kalau berpeluang suatu hari nanti, siapa tahu kami buat pelan secara spontan terbang ke Manchester untuk menyaksikan sendiri perlawanan di kubu kuat mereka di Old Trafford, insyaAllah,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain