TIDAK dinafikan yang perkembangan teknologi membolehkan perniagaan tanpa sempadan dijalankan dengan berleluasa. Hampir semua barangan boleh dijual dan dibeli secara dalam talian. Namun, apa yang mengejutkan apabila haiwan eksotik seperti buaya, burung hantu, burung helang, monyet dan memerang juga sudah boleh dibeli secara online. Perkongsian seorang pengguna media sosial, Natasha Zulaikha tular di Twitter selepas dia mendedahkan bahawa terdapat peniaga Instagram (IG shop) yang berani menjual hidupan liar berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen. Melalui posting tersebut, Natasha Zulaikha turut memuat naik tangkapan skrin laman Instagram peniaga terbabit yang menunjukkan seekor buaya dibawa menaiki kereta oleh pemilik reptilia itu. “Betapa tidak bertanggungjawabnya perbuatan ini. Dan kemudian apabila buaya ini membesar kepada saiz sebenarnya (dewasa), apa yang anda akan lakukan? “Inilah sebabnya buaya dijumpai dalam tasik di Shah Alam. Kena pandai uruskan konon, uruskan otak sendiri dulu boleh?,” sindirnya di Twitter. Natasha berkata begitu kerana merujuk kepada reaksi yang diberikan oleh peniaga tersebut kepada seorang pengguna Instagram. Pengguna tersebut bertanya: “Tidak bahaya kah?” “Kena pandai handle (uruskan),” jawab peniaga terbabit. Pemerhatian mStar Online ke atas akaun Instagram peniaga tersebut mendapati dia turut meyakinkan pelanggannya bahawa pemilik haiwan eksotik tidak perlu memiliki lesen kerana ia merupakan minat masing-masing. “Kalau personal (peribadi) tak perlu (lesen), atas minat masing-masing. Janji pandai simpan,” sambil menulis emotikon mengunci mulut. Sehubungan itu, mStar Online menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mendapatkan penjelasan berkaitan isu berkenaan. Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, individu yang menjual hidupan liar tanpa kebenaran Jabatan Perhilitan boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Situasi ini boleh memberi ancaman kepada spesies hidupan liar tempatan yang boleh menyebabkan hidupan liar eksotik ini mendominasi kawasan hutan kita. ABDUL KADIR Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan “Mana-mana orang yang menjalankan urusan berniaga atau perniagaan taksidermi tanpa suatu lesen melakukan suatu kesalahan dan boleh (apabila disabitkan) didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. “Mereka yang turut menyimpan hidupan liar tanpa memiliki lesen juga boleh dikenakan hukuman sama,” ujarnya kepada mStar Online. Tambah beliau, kebanyakan peminat hidupan liar memelihara haiwan eksotik daripada spesies luar negara. Bagaimanapun, terdapat individu tidak bertanggungjawab yang sudah tidak berminat untuk menjaga hidupan liar tersebut dan bertindak melepaskannya sama ada ke hutan atau ke tasik atau sungai. “Situasi ini boleh memberi ancaman kepada spesies hidupan liar tempatan yang boleh menyebabkan hidupan liar eksotik ini mendominasi kawasan hutan kita. “Dinasihatkan supaya orang awam mendapatkan hidupan liar daripada peniaga berlesen dengan Jabatan Perhilitan sahaja. Pemilik hidupan liar juga diminta bertanggungjawab terhadap kebajikan dan tidak menzalimi haiwan yang mereka pelihara,” tegasnya. Menurut Abdul Kadir, Jabatan Perhilitan bertanggungjawab memelihara hidupan liar melalui program konservasi dan penyelidikan dalam memastikan haiwan tersebut tidak mengalami kepupusan. Beliau turut menasihatkan agar orang awam yang menjumpai hidupan liar agar menghubungi talian hotline Jabatan Perhilitan 1-800-88-5151 untuk tindakan sewajarnya.