suria

“Teh O panas pun kau tiup, kena hujan sikit dah demam” – PU Amin tegur grup bendera pelangi

PU Amin.

KECOH apabila perarakan Hari Wanita Antarabangsa di ibu negara, Sabtu lalu disertai sekumpulan komuniti penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mereka bukan sahaja berarak, bahkan menjerit melaungkan slogan sambil membawa sepanduk dan mengibarkan bendera pelangi. 

Pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin berkata, manusia adalah insan yang lemah tetapi segelintir daripada mereka bersungguh-sungguh melawan perintah Tuhan.

“Jerit dengan yakin nak tuntut jadi songsang. 

“Ingatlah sikit, Teh O panas pun kau tiup. Kena hujan sikit dah demam. Itupun ada hati nak lawan perintah Tuhan,” katanya.

Bercakap kepada mStar Online, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, golongan LGBT itu kini secara terang-terangan mempromosi dan demonstrasi sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Jakim tolak usaha iktiraf LGBT


Daripada gerakan secara sulit, golongan LGBT mula melakukan promosi secara terang-terangan. Foto Reuters

Menurutnya, kemarahan itu bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, bahkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Golongan LGBT telah memulakan ideologi dan gerakan mereka secara senyap-senyap secara maya dan aplikasi-aplikasi tertentu kini lantang di khalayak ramai.

“Jika tidak diatasi segera, saya bimbang tindakan ini akan memberi kesan sehingga 10 tahun dan 20 tahun akan datang kepada masyarakat terutama generasi muda,” katanya yang mengalu-alukan tindakan pihak berautoriti dalam menanganinya daripada terus berleluasa.

PU Amin menegaskan, tiada diskriminasi terhadap golongan LGBT kerana terdapat pelbagai usaha untuk membantu mereka sehingga berjaya.

“Pada masa sama, banyak usaha badan-badan tertentu, pendakwah-pendakwah termasuk kerajaan membantu mereka untuk berubah. 

“Tapi kita perlu sama-sama komited menangani LGBT yang degil ini secara lantang melakukan promosi kerana setiap penyakit itu ada ubat dan penawarnya,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan menegaskan bahawa amalan golongan LGBT tidak diterima sama sekali di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan juga tidak mengiktiraf perbuatan yang salah di sisi undang-undang, sebagaimana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
PU Amin, LGBT

Artikel Lain