suria

Arwah cikgu Hayati terus berceloteh ajar 'Add Math' di YouTube

Cikgu hayati meninggal dunia akibat penyakit kanser. Foto: Facebook Hayati Aini Ahmad

PENGORBANAN dan keikhlasan seorang guru dalam mendidik anak murid sentiasa dikenang walau hakikatnya ada dalam kalangan pendidik yang terpaksa menanggung kesakitan ketika melaksanakan amanah kerjaya mereka.

Realitinya matlamat setiap guru adalah untuk berusaha bagi menjamin kejayaan pelajar.

Demikian pengorbanan Hayati Aini Ahmad yang mendidik tanpa mengira penat walau disahkan menghidap kanser payudara tahap empat sejak dua tahun lalu.

Namun, guru subjek Matematik Tambahan ini yang dijemput Ilahi pada Ahad lalu bukan sekadar meninggalkan nama kerana komited mendidik anak bangsa, malahan ilmunya yang dikongsi menerusi video hasil usahanya akan kekal di alam maya untuk digunapakai oleh sesiapa sahaja.

Menerusi posting di akaun Facebook milik Hayati, dia pernah memuat naik status mengenai laman YouTube yang dikendalikannya mempunyai lebih daripada 300 video tutorial untuk subjek Matematik Tambahan serta mendapat respon positif daripada pelajar.

Menurut suami kepada arwah Hayati, Abdul Jalil Daud, 53, ilmu yang dikongsikan isterinya itu diharap boleh memberi manfaat kepada golongan pelajar.

"Selagi video di YouTube itu boleh memberi manfaat kepada semua, ambil dan belajarlah melaluinya.

"Isteri saya terpanggil untuk menyediakan video pengajaran dalam bahasa Melayu ketika mengajar di Youtube  bagi menyediakan alternatif kepada pelajar yang lemah penguasaan bahasa Inggeris kerana rata-rata video dalam YouTube dalam bahasa Inggeris," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Selain itu Jalil juga memberitahu arwah isterinya sedaya upaya akan membantu pelajarnya memahami sesuatu perkara walaupun di luar waktu persekolahan.

"Dalam apa jua keadaan, dia akan cuba penuhi keperluan orang lain berbanding dirinya sendiri.

"Naluri sebagai pendidik sangat tinggi, dia akan pastikan para pelajarnya betul-betul faham subjek Matematik Tambahan itu." ujar Jalil.

Sementara itu menceritakan jasa guru ini, bekas pelajarnya, Ainal Fadilah mengakui terkesan menerima berita sedih itu.

"Kawan-kawan yang lain juga terkejut dan kami hanya mengetahui berita pemergiaan cikgu selepas ia tersebar di Facebook dan Whatsapp.

"Walaupun dah berusia 34 tahun, saya masih ingat ketika bergelar pelajarnya, memang mudah nak faham apa yang diajar arwah.

"Cikgu Hayati juga sangat baik dan ikhlas dalam kerja dia," ujar Ainal menceritakan memori bersama arwah ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Alma, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Ainal juga maklum mengenai usaha Hayati berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajarnya walaupun ketika itu dia sedang menderita sakit kanser.

"Sebagai bekas pelajar, saya akan terus kongsikan ilmu yang diberikan cikgu di media sosial melalui Facebook dan Youtube untuk kegunaan generasi akan datang agar ia terus berkembang," katanya.

Hayati merupakan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Long, Kajang sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.

Arwah mula menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sekitar awal Januari 2017 dan terpaksa terlantar di hospital sejak September.

Dia meninggal dunia di samping ibunya di kediamannya di Taman Puncak Saujana, Kajang pada umur 46 tahun.

Jenazah Hayati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada pada Isnin, 11 Mac lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
guru, pengorbanan

Artikel Lain