GARA-gara bersikap prihatin terhadap seorang budak yang ditinggal keseorangan di tepi jalan, seorang lelaki dimarahi bapa kanak-kanak itu. Menerusi satu perkongsian di laman sosial, Lokman Mohsid dari jauh melihat seorang kanak-kanak duduk keseorangan di atas motor yang diletakkan berdekatan dengan keretanya. Bila didekati dan bertanya, kanak-kanak itu memberitahu bapanya pergi ke sebuah kedai serbaneka di hadapan premis tersebut. “Aku pun berdiri kat tepi motor sampailah ayah dia keluar kedai. Aku tengok jam dari mula aku tunggu sampai ayah dia keluar ialah 4 minit 17 saat. “Salam bang. Saya nampak dia seorang. Motor ni tepi jalan sangat. Lepas stand (tongkat) pun pakai yang sebelah saja. Saya turunkanlah dia,” katanya kepada bapa kanak-kanak itu. Bukan ucapan terima kasih yang diberikan, sebaliknya dia diherdik bapa budak itu kerana cuba mengajarnya untuk menjaga anak sendiri. “Alaaa... kejap je pun, bukan lama. Aku beli topup je. Tahu lah aku jaga anak. Kau baru anak seorang kan? Jaga je anak kau tu. Tak payah sibuk hal orang,” ujar lelaki itu sebelum beredar bersama anaknya. Bapa seorang anak berusia 34 tahun itu berkata, luahannya yang baru dikongsikan di laman sosial sehingga menjadi tular adalah berdasarkan pengalamannya pada minggu lalu, berdekatan kawasan perumahannya di Puchong Permai di Puchong, Selangor. “Masa tu saya baru lepas cuci baju di kedai dobi, ditemani anak. Bila tengok budak perempuan tu dari jauh, saya jadi risau kerana dia duduk seorang atas motor dengan tongkat hanya sebelah, diparkir pula hampir ke tengah jalan. “Ini bukan pertama kali saya nampak budak kecil ditinggalkan bersendirian di tempat awam. Dah pernah juga tegur ayah mereka sebab buat macam tu. Tapi ni pertama kali kena ‘sound’ (marah) dengan ayah budak,” katanya kepada mStar Online. Lokman bersama anak perempuannya berusia lima tahun. Foto ihsan Lokman Mohsid Lokman berkata, budak perempuan dalam lingkungan umur tujuh tahun itu kelihatan takut tetapi tiada pilihan selain menunggu bapanya. Sekarang dah jadi macam trend bila mak ayah harapkan masyarakat untuk tengokkan anak-anak mereka. Tapi masyarakat pula takut-takut nak prihatin sebab nanti akan diambil tindakan daripada mak ayah budak. Lokman Mohsid Bapa seorang anak Namun dia yang bertugas sebagai eksekutif operasi itu lebih mementingkan soal keselamatan kanak-kanak tersebut, terutama kejadian pada waktu malam. “Sekarang dah jadi macam trend bila mak ayah harapkan masyarakat untuk tengokkan anak-anak mereka. Tapi masyarakat pula takut-takut nak prihatin sebab nanti akan diambil tindakan daripada mak ayah budak. “Kalau kita mengambil sikap tak ambil peduli, masalah tak selesai dan anak-anak kecil akan terdedah kepada bahaya,” katanya. Dia yang menetap di Puchong sejak empat tahun lalu berkata, budak tersebut berisiko jatuh dari motosikal, dilanggar kenderaan lain atau menjadi mangsa penculikan. Menceritakan lebih lanjut, kata Lokman, ketika insiden itu dia membawa sebuah beg besar berisi pakaian yang baru dicuci dengan anaknya, sekali gus ia menyukarkannya untuk membawa budak berkenaan berjumpa dengan bapanya di kedai. “Sebab itu saya tunggu sampai bapa budak tu datang dan beri penjelasan. Tapi, saya kena marah pula, rasa bengang juga tapi saya malas nak layan nanti jadi isu. “Apapun, saya dah ambil gambar kedudukan budak tu dari jauh. Jadi, kalau ayahnya nak buat laporan polis, saya ada bahan bukti yang mengatakan anaknya dibiarkan bersendirian dalam keadaan berbahaya. “Jadi, sebagai masyarakat kita perlu cakna dan ambil tahu keadaan sekeliling. Jangan anggap itu bukan anak kita, jadi tak ambil peduli. Anak siapa pun yang pentingkan keselamatan mereka,” katanya.