suria

Kenali pengasas masjid mangsa serangan di NZ, pensyarah UPM akui “keperibadian Syahid sungguh mulia”

Nor Atiah (dua kiri) bersama suami dan anak-anaknya ketika menetap di Christchurch, New Zealand.

TRAGEDI serangan ketika umat Islam sedang solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand telah menggemparkan masyarakat dunia.

Bukan sahaja umat Islam, bahkan penganut agama lain di seluruh dunia turut berduka dengan insiden menyayat hati yang mengorbankan 50 nyawa itu.

Salah seorang mangsa yang maut ialah pengasas Masjid Al Noor, As Syahid Muhammad Ato yang turut membuka Pusat Asuhan Kanak-kanak dan An-Nur yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

Seorang graduan peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Lincoln, Christchurch, Prof. Madya Dr. Nor Atiah Ismail berkata, dia pernah menghantar anaknya ke pusat asuhan tersebut.

Beliau mengakui kehilangan kata-kata sebaik mengetahui mengenai berita kematian pengasas masjid terbabit.

As Syahid Muhammad (kiri) dan anaknya terkorban pada serangan tembakan di masjid pada Jumaat.

"Kalau dia (Syahid) tidak ke masjid, dia akan tolong isterinya Dr. Maysoon Salama jaga anak-anak dekat pusat asuhan itu.

"Mereka berdua sangat bersifat motherly (umpama ibu bapa) ketika melayan budak-budak. Bila dapat tahu berita tu, ya Allah sedihnya dengan apa yang berlaku.

"Kami tak sangka selepas hampir 10 tahun menghantar anak di sana, benda macam ni boleh berlaku," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau yang kini bergelar pensyarah kanan di Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia berkongsi kesedihannya berhubung insiden itu di Facebook pada Sabtu.

Bila mereka mati syahid, saya rasa pilihan Allah memang betul kerana akhlak dan ilmu mereka hebat. Allah dah janji dalam al-Quran yang orang hebat ni Allah sayang, memang syurgalah untuk mereka sekeluarga.

NOR ATIAH

Tambah arkitek landskap berkenaan, beliau menghantar anak lelakinya Muhammad Arif Iman Mohd Jafri ke pusat asuhan tersebut selama tiga tahun setengah bermula ketika anaknya itu berusia dua tahun setengah, pada 2007 hingga 2010.

Menurut Nor Atiah, keperibadian pengasas masjid itu begitu mulia dan menganggap beliau adalah antara hamba Allah yang terpilih untuk mendapat kematian husnul khotimah.

"Mereka juga beri pekerjaan kepada pelarian dari Nigeria dan Somalia yang sering dipandang rendah untuk jaga anak-anak di pusat asuhan itu.

"Mereka memang baik, penyayang, murah dengan senyuman dan tak lekang menyebut nama Allah. Peluang berkenalan dengan orang macam tu memang tak akan dapat di mana-mana, dekat sini (Malaysia) pun susah.

"Bila mereka mati syahid, saya rasa pilihan Allah memang betul kerana akhlak dan ilmu mereka hebat. Allah dah janji dalam al-Quran yang orang hebat ni Allah sayang, memang syurgalah untuk mereka sekeluarga," ujarnya.

Muhammad Arif Iman (tengah) di atas ribaan Dr Maysoon Salama ketika dihantar di Pusat Asuhan An-Nur Christchurch.

Nor Atiah yang juga merupakan pemastautin tetap New Zealand merancang untuk kembali ke negara itu suatu hari nanti kerana jatuh cinta dengan layanan baik rakyatnya.

Beliau masih sukar menerima insiden pembunuhan itu berlaku di New Zealand kerana negara tersebut tidak pernah membuatkan dia sekeluarga berasa terancam.

"Apa yang orang kata tentang orang New Zealand ni baik-baik, memang betul. Sebab tu saya tak sangka tragedi macam ni boleh berlaku di sana.

"Sepanjang berada di negara itu, kami tak pernah rasa terasing kerana perbezaan agama. Semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat New Zealand memang buat kami rasa kami juga sebahagian daripada mereka," jelas Nor Atiah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain