suria

Sayunya... Adik pegang amanah catat nama Abah yang ke-410 dalam buku nota kecil

Gambar kenangan Habbiba Maysara (kanan) bersama arwah bapanya dan ibunya.

SEORANG demi seorang nama sahabatnya yang sama-sama menjadi peneroka Felda ditulis dalam buku nota kecil setelah dijemput menghadap Ilahi.

Kini tiba giliran namanya pula untuk diabadikan di dalam buku tersebut setelah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Mac lalu.

Menerusi satu perkongsian di Twitter pada Isnin, seorang remaja lelaki Aiman Hakim Abdul Razak, memuat naik tangkapan skrin luahan hati ibu saudaranya yang sebak selepas datuknya Hamzah Taib meninggal dunia.

"Atuk aku dari dahulu tulis nama kawan-kawan dia yang sudah meninggal dunia.

"Sekarang dia sudah tiada. Tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk atuk aku," tulis remaja berusia 17 tahun itu  pada posting tersebut.

Posting yang dimuat naik oleh Aiman Hakim di Twitter.

Hantaran itu tular sehingga meraih lebih 7,800 ulang kicau dan menerima lebih 5,400 tanda suka.

Pada posting tersebut, ibu saudaranya, Habbiba Mysara yang juga berusia 17 tahun memuat naik gambar dan status di Whatsapp Story tentang pesanan Allahyarham yang mengamanahkannya agar menulis nama bapanya itu dalam sebuah buku khas jika sudah tiada nanti.

Anak bongsu daripada 13 beradik itu memberitahu, dia tidak dapat melupakan kata-kata yang diungkapkan oleh bapanya ketika diserang sesak nafas pada pukul 3 pagi Jumaat lalu.

Luahan hati Habbiba Maysara.

"Seumur hidup saya jaga arwah Abah, ketika itu Abah tak pernah kata dia nak pergi hospital sebab dia tak nak susahkan sesiapa.

"Tapi masa tu dia kata dia sudah tidak tahan sangat, 'Adik (Habbiba Mysara), Abah sakit, Abah nak mati'," katanya kepada mStar Online.

Selepas dikejarkan ke hospital, bapanya yang berusia 80 tahun itu mengalami koma sebelum meninggal dunia sehari kemudian.

Saya berpuas hati dan gembira sebab dapat uruskan keperluan arwah Abah semasa hayatnya dan saya akan pegang amanah arwah untuk tulis nama kawan-kawannya yang lain sekiranya ada yang meninggal dunia nanti.

HABBIBA MAYSARA

Anak bongsu Hamzah

Kata Habbiba Mysara, dia dapat mengagak bapanya akan pergi buat selama-lamanya selepas menunjukkan tanda-tanda tidak sihat enam hari sebelum meninggal dunia.

Menurut pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goh, Kuantan di Pahang itu, bapanya mula sesak nafas sejak 5 Mac lalu, tetapi kembali stabil setelah diberikan bantuan oksigen oleh doktor di klinik.

Namun, dia hairan apabila melihat selera makan bapanya semakin bertambah dan mudah berasa lapar beberapa hari sebelum dijemput Illahi.

Keluarga besar Allahyarham Hamzah (empat dari kanan, duduk).

"Semua yang Abah teringin nak makan, saya dan Mama akan cuba sediakan.

"Saya berpuas hati dan gembira sebab dapat uruskan keperluan arwah Abah semasa hayatnya dan saya akan pegang amanah arwah untuk tulis nama kawan-kawannya yang lain sekiranya ada yang meninggal dunia nanti," ujarnya.

Kata gadis tersebut, kini sudah ada 410 daripada 670 nama peneroka Felda di Bukit Goh itu dicatit dalam buku nota Allahyarham bapanya itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Habbiba Maysara, nota arwah abah

Artikel Lain