suria

Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A!

KEPUTUSAN Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan pada Khamis melakar momen suka duka, tawa dan tangis dalam kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Tahniah buat mereka yang berjaya dengan pencapaian cemerlang, dan bagi yang tidak bernasib baik, ia bukanlah pengakhiran dalam hidup.

Seperti remaja ini, siapa sangka dia yang merupakan antara 8,436 daripada 421,706 calon yang memperoleh semua A dalam SPM walaupun pernah mendapat markah tercorot.

Zarif memperoleh keputusan 9A untuk SPM 2018.

Menerusi satu perkongsian di Twitter pada Khamis, dia memuat naik gambar kertas peperiksaan dengan markah 38 dan kertas keputusan SPM memproleh 9A.

Zarif Azri Azizul, 18, berkata, markah corot 38 itu diperolehnya bagi subjek Matematik Tambahan pada peperiksaan pertama di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Taiping, Perak pada awal tahun lalu.

“Saya memang mempunyai masalah dengan subjek Matematik Tambahan. Jujurnya, saya tak pernah dapat markah yang bagus untuk subjek ni sejak Tingkatan Empat. 

“Hanya Tuhan saja yang tahu betapa rendahnya diri ini, jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang jauh lebih baik daripada saya. Masa peperiksaan percubaan SPM pun saya cuma dapat B+,” katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Perkongsian Zarif di Twitter berhubung keputusan SPM yang diperolehinya.

Mengimbas semula keputusan corot 38 itu, Zarif berkata, dia mengakui pada mulanya takut untuk memberitahu ibu bapanya kerana bimbang dimarahi.

Namun, dia bersyukur kerana sebaliknya, ibu bapanya memberi sokongan dengan nasihat dan kata-kata semangat untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa rendahnya diri ini, jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang jauh lebih baik daripada saya.

Zarif Azri Azizul

Calon SPM 2018

Malah anak jati Kuala Lumpur ini menyifatkan perasaan rendah diri itu tidak seharusnya ditanam dengan kurang keyakinan tetapi berusaha lebih gigih.

“Saya ambil masa untuk mahir dalam subjek Matematik Tambahan, jadi banyak pengorbanan yang saya lakukan. Kalau dulu, tiap-tiap petang saya main ragbi di padang, aktiviti sukan itu saya kurangkan.

“Saya berikan lebih banyak tumpuan kepada subjek ni. Kalau hari ni saya belajar topik A, esok topik B, lusa pula saya buat rujukan untuk topik sebelum itu bagi menilai sejauh mana kemampuan dan pemahaman saya,” katanya yang turut mendapat bantuan daripada rakan-rakan lain dengan mengulangkaji bersama.

Zarif bersama ibu bapanya selepas mengambil keputusan SPM. Foto ihsan Zarif Azri Azizul

Mengenai keputusan SPM cemerlang diperolehinya, anak sulung daripada tiga beradik ini tidak menyangka memperoleh keputusan A+ bagi Matematik Tambahan.

“Saya memang yakin dapat keputusan lebih baik, tapi saya tak sangka dapat A+ untuk subjek yang paling lemah itu. Syukur alhamdulillah. 

“Terima kasih kepada ibu bapa dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan,” katanya yang meminati sukan elektronik (e-sukan) dan filem genre ‘thriller’.

Antara pengorbanan yang dilakukan Zarif adalah mengurangkan aktiviti bermain ragbi.

Sehubungan itu, Zarif memberitahu, lumrah manusia pasti akan merasai kegagalan tetapi perlu bangkit dan berusaha untuk mencapai kejayaan.

“Gagal itu adalah normal, semua orang pernah merasai kegagalan termasuk saya sendiri. Tapi kita kena ‘push’ diri untuk menjadi yang lebih baik.

“Kalau dapat keputusan yang tidak seperti diharapkan itu janganlah sedih lama-lama. Sebaliknya, fikir positif dan bangkit untuk memperbaiki kelemahan,” ujarnya yang mengimpikan untuk menceburkan diri dalam bidang sains aktuari.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan