suria

“Tanpa malu saya jaja sana sini nak bagi anak-anak makan”, usahawan menangis kenangkan kereta suka duka ditemui semula

Kereta kesayangan Faziani yang hilang hampir dua tahun ditemui semula. (Gambar kecil) Faziani Rohban Ahmad. Foto ihsan Faziani Rohban Ahmad

KALAU rezeki, tidak akan ke mana. Begitulah yang dialami seorang usahawan kosmetik apabila kereta kesayangannya yang hilang hampir dua tahun lalu, ditemui semula.

Walaupun bukan kereta mewah atau mahal tetapi Faziani Rohban Ahmad berkata, kenderaan itu banyak berjasa, digunakannya semasa susah senang, suka dan duka.

Beliau pernah mengalami kesukaran untuk membayar cukai jalan dan bayaran ansuran bulanan kereta yang membawanya untuk berniaga dan buat anak-anak ke sekolah.

"Dengan kereta ni saya bergerak mencari rezeki tanpa kenal siang malam, pelbagai barang saya niagakan... kain, kasut, baju, beg tangan, hiasan rumah, cadar, kosmetik dan macam-macam lah. 

"Asal jadi duit semua saya buat, tanpa malu menjaja sana sini. Niat hanya satu nak bagi anak-anak makan," kata ibu lapan anak itu kepada mStar Online pada Rabu.

Kereta dibawa untuk dibaik pulih.

Faziani yang kini berada di India bagi menziarahi keluarga sebelah arwah bapanya berkata, banyak kenangannya bersama kereta Naza Citra yang digunakannya sejak 2004. 

Malah beliau pernah berjanji untuk tidak menjual kereta itu meskipun mempunyai beberapa kenderaan lain selepas rezekinya bertambah dan perniagaan semakin stabil.

Saya terduduk dan suami saya pun termenung kerana kasihankan saya kerana dia tahu kereta tu kesayangan saya

Faziani Rohban Ahmad

Usahawan kosmetik

Mengimbas kembali insiden hampir dua tahun lalu, Faziani memberitahu beliau berhadapan dengan ujian apabila kereta tersebut dicuri di hadapan rumahnya.

"Kehilangan kereta tu merupakan tamparan hebat pada saya kerana saya sayang sangat kereta tu. Sebab saya dah janji, macam mana pun tak akan jual kereta tu kerana ia kereta susah senang saya.

"Saya terduduk dan suami saya pun termenung kerana kasihankan saya kerana dia tahu kereta tu kesayangan saya," katanya sambil menambah ketika itu beliau hanya berdoa kepada Allah SWT agar dipertemukan semula kereta tersebut.

Kenangan... Faziani bersama kereta suka duka beliau. Foto ihsan Faziani Rohban Ahmad

Namun, panggilan telefon yang diterima suaminya pada Ahad lalu susulan laporan polis berhubung kehilangan kereta sebelum ini, memberi kejutan besar buat Faziani.

"Akhirnya pada Ahad lalu, suami telefon saya beritahu dapat panggilan daripada polis suruh pergi ambil kereta. Kami diberitahu kereta tersebut dijumpai dalam satu sekatan jalan.

"Suami saya terkejut dan meremang bulu roma sebab katanya jarang kereta hilang dijumpai semula. Saya pula menangis tanpa henti kerana amat bersyukur dan tangisan semakin kuat apabila semua nostalgia mengenai kesusahan saya sebelum ini," katanya.

Faziani berjanji pada dirinya untuk tidak menjual kereta yang banyak berjasa itu.

Menurut Faziani, kereta tersebut dihantar ke bengkel untuk baik pulih meskipun kos pembaikan agak tinggi.

"Tak apalah, suami kata tu adalah kereta yang sangat bermakna. Selepas ni, saya sendiri akan guna9 kereta tu dan akan simpan kerana ia kesayangan saya," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Naza Citra, Faziani Rohban Ahmad

Artikel Lain