suria

Tak tolong, tapi rakam wanita kena langgar, pemilik video tular kata “kalau turun tak sempat”

Seorang lelaki dengan selamba melanggar pasangannya selepas berlaku pertengkaran.

PEMILIK video tular yang menunjukkan seorang lelaki dan wanita, dipercayai pasangan kekasih sedang bergaduh tampil memberi penjelasan mengenai insiden itu yang berlaku pada Jumaat malam.

Menurut Khalil Jamian, 30, insiden pergaduhan itu berlaku di belakang sebuah kondominium di Bangsar South lebih kurang pukul 9 malam.

“Ketika itu saya baru lepas mandi dan terdengar seperti suara orang sedang bergaduh.

“Pada mulanya saya tidak ambil kisah tetapi beberapa minit selepas itu dengar orang menjerit nama ‘Syahirah’ dan dalam masa sama suara seorang wanita sedang menangis sambil  menjelaskan sesuatu.

“Selepas itu seorang lelaki yang menunggang motosikal dilihat meninggalkan pasangannya, namun beberapa minit kemudian datang balik kepada wanita itu.

“Saya ada dengar juga lelaki itu cakap ‘kau buat bukan-bukan belakang aku kan’ sambil suaranya seperti menangis.

“Sebaik sahaja lelaki itu datang balik dia melanggar wanita itu dan turun dari motosikal memukul wanita itu.

“Wanita itu tidak berganjak. Saya dari atas sempat menjerit kepada lelaki itu,” jelasnya kepada mStar Online

Jelas Khalil, dia sempat merakam semua adegan melibatkan pasangan tersebut.

“Rakaman video saya itu dikongsi di laman sosial dan sudah pasti ramai netizen lain persoalkan kenapa saya tidak turun membantu wanita itu.

“Saya tinggal di tingkat empat. Jika saya turun dan pergi ke tempat kejadian ia mengambil masa lebih dari lima minit.

“Turun ke bawah perlu pergi ambil kereta di basement dan pusing ke tempat kejadian yang terletak di belakang kondo.

“Memang tidak sempat jika ke sana.

“Walau bagaimana pun petang ini saya akan membuat laporan polis (cover report) insiden itu.

"Sekiranya wanita itu ada membuat laporan polis kerana dipukul, mungkin laporan saya ini akan dapat membantunya kerana semuanya ada dalam rakaman video.

“Saya pasti jiran-jiran lain juga turut tengok insiden tersebut,” katanya.

Bagi Khalil, jika dilihat secara kasar kelakuan lelaki tersebut amat melampau sehingga sanggup melanggar pasangannya.

“Saya pasti mereka sedang berbincang mengenai hubungan mereka. Dan saya juga pasti lelaki itu sudah hilang sabar sehingga sanggup berbuat demikian.

“Manakala wanita itu tidak pula cuba melarikan diri ketika dilanggar.

Namun kedua-dua mereka beredar sebaik saya jerit ‘jangan sampai aku turun’” dakwanya.

Dalam pada itu, di Twitter seorang pengguna @minaazaini turut berkongsi video tersebut dan mendapat pelbagai kritikan daripada netizen lain.

Antara reaksi pengguna Twitter selepas video milik Khalil dimuatnaik oleh @minaazaini


Rata-rata netizen bengang dengan pelakuan lelaki tersebut yang dianggap melampau.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
langgar wanita, gaduh

Artikel Lain