APABILA posmen datang menghantar bungkusan, hati pasti berasa lega kerana barang dipesan sampai juga akhirnya. Tapi bagaimana pula sekiranya bungkusan diterima tanpa ada pesanan dibuat? Apatah lagi tiada butiran nama pengirim ditulis, pasti pening kepala memikirkan siapa yang buat kejutan. “Tiba-tiba abang posmen sebut nama suruh tandatangan. Tapi sambil tu fikir ada pesan barang ke. Lepas tu buka kotak, ada kotak ni. Tak tahu siapa bagi. Terima kasih. Saya dah selesaikan tempat kosong,” menurut tulisannya di Twitter, pada Jumaat, yang tular dengan lebih 14,000 ulang kicau. Perkongsian Izzati di Twitter mengenai kotak misteri menjadi tular. Penerima kotak misteri berkenaan, Nurul Izzati Abdul Hassim, 22, berkata, dia sememangnya tidak menyangka menerima bungkusan itu kerana kali terakhir dia membuat pembelian secara dalam talian adalah kira-kira lima bulan lalu. Lebih mesra dengan panggilan Izzati, dia memberitahu bahawa kotak itu mengandungi manisan berupa coklat dan gula-gula, dan sehelai kertas yang tertera ayat tidak lengkap ditulis dalam bahasa Inggeris. Kertas yang tertera ayat tidak lengkap ditulis dalam bahasa Inggeris. Bagi melengkapkan ayat tersebut, dia dikehendaki meletakkan coklat pelbagai jenama yang dihantar itu mengikut kesesuaian di ruang-ruang yang dibiarkan kosong. “Saya ‘isi' tempat kosong menggunakan coklat dan gula-gula dengan jenama tertera pada setiap bungkusan yang diberi sebagai petunjuk. “Selepas itu saya pun muat naik gambar kertas yang disusun dengan makanan tu, di Twitter. Tak sangka ada macam-macam andaian netizen mengenai siapa pengirimnya,” katanya kepada mStar Online, sambil menambah dia menerima bungkusan itu di pejabatnya di sebuah daerah di Pahang. Ramai yang nasihatkan saya supaya jangan makan sebab bimbang disantau atau ‘guna-guna’ (sihir). Tak lama kemudian, saya dapat mesej daripada seorang individu yang buat pengakuan bahawa dia adalah pengirim kotak misteri. Nurul Izzati Abdul Hassim Coklat dan gula-gula dijadikan sebagai petunjuk mengisi tempat kosong . Malah, Izzati yang bertugas sebagai kerani memberitahu, rata-rata netizen termasuk dirinya sendiri terkejut malah bimbang apabila pengirim bungkusan itu mengetahui alamat pejabatnya. “Ada yang kata ia terlalu kreatif untuk dilakukan oleh seorang lelaki, dan tulisan tu cantik sangat. Lagipun, biasanya perempuan je gigih buat benda-benda ni kat lelaki. “Malah ada yang meneka abang posmen yang beri. Paling lucu bila ada yang kata ia sekadar ‘plot twist’ kononnya saya yang buat dan hantar kat diri sendiri,” katanya. Izzati menerime pelbagai andaian daripada netizen mengenai kotak misteri. Foto ihsan Nurul Izzati Hassim Bagaimanapun, gesaan netizen supaya tidak makan manisan itu kerana bimbang disantau oleh pengirimnya berjaya membongkarkan siapa pengirim bungkusan tersebut. “Ramai yang nasihatkan saya supaya jangan makan sebab bimbang disantau atau ‘guna-guna’ (sihir). Tak lama kemudian, saya dapat mesej daripada seorang individu yang buat pengakuan bahawa dia adalah pengirim kotak misteri tu. “Dia sebenarnya pernah menghubungi saya sebelum ini, susulan seorang penjual baju di Instagram mahu menghantar baju kepada saya sebagai hadiah percuma,” katanya. Baju kurung yang diterima Izzati daripada 'secret admirer'. Namun selepas penjual tersebut didesak untuk memberitahu perkara sebenar, Izzati akhirnya diberitahu bahawa ia adalah pesanan daripada seorang ‘secret admirer’. Graduan teknologi maklumat dari sebuah kolej tempatan itu berkata, hadiah yang diterimanya seminggu yang lalu berupa sehelai baju kurung warna ‘dusty pink’. “Dia (secret admirer) ada mesej saya pasal baju kurung tu. Dia juga orang yang sama hantar kotak misteri tu. Tapi, saya masih tidak tahu siapa dia setakat ini. “Ingatkan bila saya dah selesaikan isi tempat kosong, boleh tahu identiti dia, tapi tidak walaupun dia ada mesej saya di WhatsApp. Kepada ‘secret admirer’... kalau betul-betul serius nak berkenalan, perkenalkanlah diri. kan lebih manis,” ujar Izzati.