SELEPAS pelbagai kecaman diterima kerana dianggap menggunakan bahasa kurang sopan ketika membuat food review di sebuah restoran ikan bakar Sabtu lalu, jutawan kosmetik, Amin Abdullah tampil menyangkal dakwaan yang dilemparkan terhadapnya. Menurut pemuda berusia 30-an itu, dia tidak melihat perkataan yang digunakan sebagai satu cacian atau makian terhadap peniaga berkenaan sebaliknya ia merupakan kritikan bersifat telus, tidak berat sebelah atau menjaga hati mana-mana pihak. ARTIKEL BERKAITAN: Makan licin, 'food review' kasar... Anak pemilik restoran gesa 'doktor' usahawan kosmetik mohon maaf "Cuba beritahu saya, perkataan mana yang merujuk kepada caci maki tu? Kiamat? Ia hanya bererti end of the world. Perkataan 'celaka' sendiri digunakan di dalam al-Quran. Food review by Dr Amin sudah dua tahun dan kami buat secara telus, jujur dari hati. Kami tak sama macam media lain yang menjaga hati. "Apabila saya ke kedai ini, ikan kecil tetapi timbangan sehingga 800 gram. Saya mula rasakan ada sesuatu tak kena dengan timbangan ini. "Bila makanan sampai ikan tak segar. Sotong pun keras dan paling teruk kerang yang mereka hidang, sudah busuk. Saya minta siakap stim limau. Limau yang digunakan pun tak segar rasa seperti limau botol dan ada rasa bahan kimia," katanya dalam satu pertemuan bersama mStar Online di Petaling Jaya, Isnin. Antara reaksi netizen yang berang dengan sikap biadap jutawan kosmetik. Menepis dakwaan 'makanan tidak sedap tetapi pinggan licin', usahawan berkenaan berkata dia tidak makan makanan yang dipesan itu sebaliknya diberikan kepada golongan asnaf yang dijemput ke kedai tersebut. "Berkenaan pinggan licin tu, sudah tentu bukan saya yang menghabiskannya. Kebetulan saya ada mengajak golongan asnaf dekat Melaka untuk makan sekali dengan saya dan mereka yang habiskan. "Sebagai pelanggan dan kita bayar RM120 sudah tentu kita mengharapkan sesuatu yang terbaik," katanya yang sudah dua tahun melakukan ulasan makanan di serata negara. Sejak bila mereka ini tidak boleh dikritik? Sedangkan ahli politik pun kena kritik. Mereka bukan mana-mana kerabat diraja. AMIN ABDULLAH Selain itu, Amin turut mendakwa restoran berkenaan kotor dengan tikus dilihat berkeliaran dan dia telah membuat aduan pihak berkuasa kesihatan berhubung isu berkenaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung harga ikan. "Ketika saya nak ke tandas, saya dapat lihat dapur. Keadaan dapur yang kotor, tikus tak payah cakaplah. Tukang masak mereka pun tak pakai topi. "Pada hari kejadian juga kami syak mereka upah pelayan di bawah umur dan tiada suntikan anti Typhoid. "Laporan akan dibuat ke KPDNKK hari ini berhubung isu penimbang ikan dan isu kotor pula kami usulkan kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), termasuk mana-mana kementerian berkaitan," ujarnya. Amin (kiri) bersama beberapa individu lain menikmati hidangan di sebuah restoran ikan bakar di Melaka, sebelum membuat ulasan makanan. Menurut Amin, untuk menjadi seorang usahawan mereka sepatutnya bersikap profesional dan menerima apa juga kritikan daripada pelanggan. "Jika mereka profesional, mereka sepatutnya terima kritikan itu, perbaiki dan hubungi kami semula untuk kami cuba makanan itu. Saya bayar untuk makanan itu. Sejak bila mereka ini tidak boleh dikritik? Sedangkan ahli politik pun kena kritik. Mereka bukan mana-mana kerabat diraja. "Lagi satu, mereka kata mereka miskin tetapi pemilik restoran ini memiliki motosikal mewah, percutian mewah di atas kapal, melancong ke Korea dan memandu motosikal mereka hingga ke Brunei yang sudah tentu menelan belanja yang tinggi. "Jika mereka nak teruskan dengan tindakan undang-undang, teruskan. Saya tiada masalah dan saya takkan mohon maaf. Saya akan teruskan food review ini secara berani tanpa jaga hati mana-mana pihak," katanya. Amin membuat aduan kepada KPDNKK berhubung harga ikan di restoran berkenaan.