SELAIN selebriti, trend parti bujang (bachelorette party) turut menjadi ikutan ramai individu yang bakal bergelar raja sehari di negara ini. Terbaharu aksi sekumpulan wanita dalam parti berkenaan mengundang kecaman ramai susulan beberapa peralatan sokongan (prop) lucah yang ditampilkan dalam acara itu. Antaranya botol minuman berbentuk alat sulit lelaki yang disifatkan netizen sebagai melampau dan tidak menghormati sensitiviti masyarakat di negara ini. Lebih memalukan, gambar aksi seorang wanita mendukung seorang anak kecil sambil bermain dengan permainan berbentuk kemaluan itu dengan beberapa rakan lain turut tersebar. Difahamkan acara tersebut dilakukan secara tertutup melibatkan sekumpulan rakan. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila dan di mana ia berlangsung serta bagaimana gambar-gambar tersebut boleh tersebar di media sosial. Belon dengan ungkapan lucah antara prop yang digunakan dalam acara tersebut. Susulan itu, mStar Online mendapatkan pandangan ahli Persatuan Ulama Sedunia, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor mengenai perbuatan tidak senonoh itu. Ahmad Fauwaz berkata perbuatan itu seolah-olah merendahkan martabat wanita berhijab dan memberi pandangan tidak baik kepada agama Islam. "Perkara ini amat mendukacitakan kita sebagai masyarakat Islam. Perbuatan itu menghakis identiti wanita muslimah yang terkenal dengan sifat malu dan sering menjaga diri daripada melakukan maksiat. Sebagai contoh kita buat jamuan makan minum dan bacaan doa. Kalau tak nak bacaan al-Quran kita sembang-sembang sahajalah. Kita boleh ubah tak payah ikut budaya barat. AHMAD FAUWAZ FADZIL NOOR AHLI PERSATUAN ULAMA SEDUNIA "Memandangkan mereka yang buat pun pakai hijab, maka di mana perasaan malu mereka? Ini menunjukkan bibit-bibit golongan yang menghalalkan benda terlarang. Malah pemakaian tudung kini bukan lagi satu ibadat tetapi lebih kepada fesyen," katanya. Menurut Ahmad Fauwaz, umat Islam boleh mengadakan parti bujang tetapi biarlah bersesuaian dengan budaya masyarakat di negara ini. Aksi spontan dua wanita berhijab bermain dengan prop lucah tanpa segan silu. "Boleh buat parti bujang kita tak halang... tak ada masalah sebab itu bukan ibadat tapi buat ikut kesesuaian dengan budaya kita. "Sebagai contoh kita buat jamuan makan minum dan bacaan doa. Kalau tak nak bacaan al-Quran kita sembang-sembang sahajalah. Kita boleh ubah tak payah ikut budaya Barat," katanya. Bagaimanapun beliau bimbang budaya yang berasal dari barat itu jika tidak dikawal boleh membuka arah kepada kemaksiatan. "Ia lebih kepada ikutan membuta tuli masyarakat Islam kepada konsep barat yang mana mereka menunjukkan konsep kepuasan diri sebelum berkahwin. "Parti seperti itu melambangkan kepada kemaksiatan... ia seolah-olah membuka jalan pintu utama kepada perkara tidak baik," katanya. Ahmad Fauwaz Fadzil Noor. Susulan itu, Ahmad Fauwaz menasihati golongan muslimah supaya mengenali diri mereka sendiri. "Anda adalah wanita muslimah beridentiti dan bawa aura kepada masyarakat. Sepatutnya anda pengaruhi orang lain bukan orang mempengaruhi anda. "Jadi masyarkat muslimah perlu kembali kepada generasi yang berjaya menjaga akhlak. Bak kata Napoleon apa kubu paling kuat dalam sebuah negara, dia jawab wanita solehah kerana ia akan melahirkan orang yang baik," katanya mengakhiri perbualan.