TIADA kata yang dapat menggambarkan perasaan sedih seorang gadis apabila dia dimaklumkan bahawa kedai makan milik ibunya musnah dalam satu kejadian kebakaran, minggu lalu. Menurut Ummairah Abd Rahman, 19, dia hanya mampu mengalirkan air mata apabila memikirkan kedai berusia lebih 20 tahun yang terletak di Batu Angin, Temerloh, Pahang itu hangus dalam kejadian berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: “Hanya sempat capai bendera Malaysia tutup kepala...” - Bakal pengantin ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa Susulan kejadian itu, ibunya, Jamaliah Abd Rahman, 63, yang terkesan dengan peristiwa itu terus memaklumkan hasratnya untuk bersara dan menyerahkan perniagaan kepada salah seorang anaknya yang juga abang kepada Ummairah. Kedai makan ibu Ummairah yang lebih dikenali sebagai Gerai Kak Zee. “Mak memang menangis, tapi dia reda dengan apa yang berlaku. Dia cakap, dah sampai masa dia berehat dan bersara. “Memang dah lama dia nak bagi kedai dekat abang, tapi tak sangka pula jadi macam ni. Mungkin ia satu permulaan baharu, perniagaan ni mungkin akan lebih berkembang selepas ini,” katanya sewaktu dihubungi mStar Online pada Isnin. Mestilah terkesan, setiap kali cuti memang saya akan bantu mak di kedai. Ia merupakan mata pencarian kami. Ayah dah bersara dan kurang sihat. UMMAIRAH ABD RAHMAN Menurut Ummairah lagi, kebakaran itu berlaku pada Ahad minggu lepas (17 Mac) tetapi dia hanya pulang bertemu ibunya beberapa hari selepas itu, iaitu pada Khamis. Menjelaskan tindakannya itu, Ummairah berkata dia tidak pulang pada hari kejadian kerana enggan melihat ibunya dalam keadaan sedih. Antara kerosakan yang dialami dalam kejadian itu. “Saya belajar di Kuantan, saya tak sanggup balik Temerloh tengok mak bersedih. Saya call sahaja, dia memang menangis. “Mestilah terkesan, setiap kali cuti memang saya akan bantu mak di kedai. Ia merupakan mata pencarian kami. Ayah dah bersara dan kurang sihat. “Pelanggan mak saya pun sedih, mereka kata dah tak ada port untuk makan rojak sedap,” katanya lagi. Kedai ibunya yang lebih dikenali sebagai Gerai Kak Zee popular dengan hidangan seperti rojak buah, rojak ayam, rojak mee, rojak tauhu, mee Jawa, laksa asam dan pelbagai makanan lain. Dalam kejadian itu, kedai ibunya mengalami 80 peratus kerosakan yang membawa kerugian sekitar RM30,000. Rojak merupakan juadah popular di Gerai Kak Zee. Malah, hanya beberapa peralatan kedai sahaja yang berjaya diselamatkan. Tambah Ummairah lagi, kejadian dikatakan berpunca daripada litar pintas di salah sebuah kedai lain sebelum ia merebak ke 15 premis lain termasuk kedai milik ibunya. Berkongsi kisah itu di laman Twitter, posting Ummairah mengundang simpati ramai sehingga beberapa individu tampil memberi sumbangan dana untuk dia dan ibunya. Paparan skrin posting Ummairah yang tular di Twitter. Turut disertakan dengan beberapa foto kemusnahan akibat kejadian itu, posting Ummairah menerima lebih 7,000 ulang kicau (Retweet) daripada pelayar laman sosial itu. “Tak sangka ramai yang direct message (DM) dan cuba membantu. Saya sangat berterima kasih. Setakat ini ada beberapa individu yang bantu dan jumlahnya sudah mencapai RM350. “Pada saya bukan nilai yang menjadi ukuran sebaliknya keihklasan mereka nak bantu yang buat saya terharu,” katanya lagi.