suria

"Keluarga lebih penting" - Anak akur permintaan ibu hidap strok, berhenti kerja kali kedua... jaga adik kanser tulang

Selain ibunya yang mengalami strok, adik kepada Nazarhairy pula sedang bergelut dengan kanser tulang.

DIANGGARKAN bersaiz sebesar dua biji bola, ketumbuhan di bahagian atas belakang seorang remaja akibat kanser tulang mengundang simpati warga media sosial.

Kisah mengenai Mohd Shafuan Nor Azhar, 20, tular di Twitter dan menerima lebih 12,000 ulang kicau (Retweet) setelah ia dikongsi seorang individu pada Khamis.

Bercerita kepada mStar Online, abang kepada Shafuan, Mohd Nazarhairy Hafify berkata, remaja itu mula menghidap kanser pada awal tahun lalu.

Nazarhairy berkata, adiknya mula menghidap kanser pada awal tahun lalu.

“Dah hampir setahun lebih, sebelum ni dia bekerja kilang di Sungai Buloh (Selangor). Mula-mula sakit belakang sahaja, lama-lama bila membesar, dia berhenti kerja.

“Tak boleh nak buat apa, nak jalan pun berat. Memang dia sakit sebab dalam tu macam ada nanah. Ketumbuhan tu boleh dianggarkan sebesar dua biji bola,” kata Nazarhairy ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut jejaka berusia 25 tahun itu, adiknya kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, sejak Selasa lalu.

Mak pun sakit, jadi saya dan ayah kena jaga mereka berdua. Mak suruh berhenti, cari kerja dekat-dekat. Saya tengah pening fikir tapi terpaksalah cari kerja lain sebab keluarga lebih penting.

MOHD NAZARHAIRY HAFIFY

Tambah memilukan, ibunya, Salmie Shafie, 48, juga terlantar sakit akibat strok sejak dua tahun lalu.

Kini, Nazarhairy dan bapanya, Nor Azhar Hussin, 48, terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk menjaga mereka berdua.

Nazarhairy yang bekerja sebagai petugas makmal di Tampoi, Johor Bahru turut berada dalam dilema apabila ibunya meluahkan hasrat agar dia mencari pekerjaan baharu yang dekat kampung mereka di Jelebu, Negeri Sembilan.

Katanya, ini bukan kali pertama ibunya membuat permintaan seperti itu kerana wanita itu juga pernah memintanya berhenti kerja ketika mula-mula terkena strok.

Shafuan menerima kunjungan rakan-rakannya sewaktu menerima rawatan di hospital.

“Mak pun sakit, jadi saya dan ayah kena jaga mereka berdua. Mak suruh berhenti, cari kerja dekat-dekat. Saya tengah pening fikir tapi terpaksalah cari kerja lain sebab keluarga lebih penting.

“Dah dua kali macam ni, dulu saya berhenti kerja masa mak mula-mula kena strok. Sekarang mak minta saya berhenti kerja sekali lagi pula sebab boleh tolong jaga adik sakit.

“Kenalah korbankan kerja, itu saja yang mampu saya korban untuk keluarga,” ujar Nazarhairy yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Paparan skrin perkongsian di Twitter yang tular mengenai Shafuan.

Mengulas penularan kisah adiknya di laman Twitter, Nazarhairy berkata dia berterima kasih apabila ada individu yang sudi menyalurkan bantuan untuk adiknya.

Selain bantuan kewangan, dia turut mengharapkan doa rakyat Malaysia agar adiknya dapat kembali pulih seperti biasa.

“Tak dapat bantu wang, doakan pun tak apa. Doakan dia sihat, doa tu penting,” katanya lagi.

Bagi sesiapa yang mahu membantu atau bertanya mengenai keadaan kesihatan Shafuan dan ibunya, anda boleh menghubungi Nazarhairy di talian 010-2464673.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kanser tulang, HKL, strok, pengorbanan

Artikel Lain