MANUSIA memang diciptakan berpasangan, namun ada juga individu yang ditakdirkan hidup bersendirian ke akhir usia. Ada yang tidak pernah berkahwin, malah ada pula yang berpisah dengan pasangan kerana perceraian mahupun ajal yang menjemput. Namun, siapalah kita untuk menafikan takdir yang tersurat? Begitulah gambaran kisah tular di laman Twitter yang mana seorang wanita yang tabah membesarkan anak-anaknya tanpa suami. Dikongsi sendiri oleh anaknya, posting berkenaan menarik perhatian ramai sehingga menerima hampir 30,000 ulang kicau (Retweet). Bercerita kepada mStar Online, gadis berusia 19 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Maisarah itu cukup mengagumi kecekalan ibunya yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti awam di ibu negara. Selain bersendirian berjaya membesarkan Maisarah dan adik perempuannya, wanita berusia 49 tahun itu juga berjaya memperoleh gelaran Doktor Falsafah (PhD) dan mengumpul aset sendiri, selepas bercerai pada 2009. Paparan skrin perkongsian Maisarah yang tular di Twitter. “Mak dan ayah bercerai sewaktu saya umur sembilan tahun. Mak keluar dari rumah bersama saya dan adik, dua orang abang saya tinggal dengan ayah. “Waktu itu memang susah, nak beli barang pun susah. Gaji mak biasa-biasa dan cukup-cukup makan sahaja. Mak juga agak sibuk buat PhD sehinggalah ia selesai pada 2012. “Masa tulah baru saya sedar yang mak saya ni seorang yang berdikari, sangat tabah dan boleh buat semuanya sendiri,” kata Maisarah ketika dihubungi pada Khamis. Selain melengkapkan pengajiannya, Maisarah mengaku bangga kerana ibunya juga berjaya membeli aset sendiri iaitu sebuah kondominium dan kenderaan baharu untuk keselesaan hidup mereka. Jelasnya, sepanjang membesar selepas perceraian itu, dia banyak mendapat inspirasi mengenai ketabahan dan kecekalan wanita yang boleh meneruskan hidup tanpa suami di sisi. Waktu itu memang susah, nak beli barang pun susah. Gaji mak biasa-biasa dan cukup-cukup makan sahaja. Mak juga agak sibuk buat PhD sehinggalah ia selesai pada 2012. MAISARAH Malah, dia juga mengerti bahawa aspek pendidikan menjadi senjata yang ampuh untuk setiap wanita bangkit dan melangkah lebih jauh, biarpun bersendirian. “Antara pesanan mak yang saya ingat, dia suruh belajar. Kena belajar bersungguh-sungguh, berdikari, cari kerja dan jangan harapkan suami semata-mata. “Pendidikan sangat penting sebab ia boleh bawa kita kemana-mana sahaja, sebab dalam hidup ni apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya lagi. Selain menerima gelaran PhD, ibunya juga berjaya membeli kediaman baharu untuk keselesaan keluarga. Gambar Hiasan: World Property Journal. Mengulas perkongsian tular itu, Maisarah berkata bukan niatnya untuk memburukkan bapanya. Malah, hubungan dia dengan bapanya juga masih baik sehingga hari ini. “Awal-awal selepas bercerai dulu, saya tak rapat dengan ayah biarpun dulu saya yang paling manja dengannya. “Selepas bercerai dan tahu apa ayah buat, saya cuba jauhkan diri. Tapi saya tetap pergi tidur di rumah ayah sekali atau dua kali sebulan. “Lama-lama saya sedar, benda tu dah lama. Kenapa saya nak berdendam dengan ayah dan mak tiri? Janji hidup kami aman dan gembira,” katanya lagi. Sementara itu, Maisarah turut gembira apabila ramai pelayar Twitter yang terinspirasi dengan ketabahan ibunya sehingga menyifatkan wanita itu sebagai idola dan superwoman. Jelas pelajar asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi, dia juga mahu membesar sebagai wanita yang kuat seperti ibunya.