"BUKAN saya yang culik!" Itu respons seorang penari sambilan apabila dituduh bersubahat melarikan kenalannya sendiri, seorang gadis berusia 19 tahun. Perkara ini tular di media sosial apabila abang kepada gadis hilang berkenaan, Farhana Abdul Razak, memuat naik bebenang di Twitter berkongsi insiden kehilangan adik perempuannya, pada Isnin. Sehari selepas itu (Selasa), satu lagi posting yang dimuat naik lelaki itu tular apabila dia meminta bantuan orang ramai untuk mencari dua individu, seorang pemuda dan seorang gadis kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kehilangan Farhana. Farra Nadia Abdul Kadir, 17, berkata, dia bersama lelaki yang juga rakan sekerjanya amat terkejut apabila tiba-tiba dituduh menculik gadis berkenaan hanya kerana mereka menjadi individu terakhir berjumpa dengannya. "Individu yang tuduh saya menculik adalah abang kepada Farhana. Dia viralkan saya di laman sosial kerana menyangka saya berkomplot melarikan adik perempuannya. "Mungkin dia syak saya sebab Farhana ada pinjam telefon saya untuk WhatsApp ibunya sebelum menghilangkan diri. Saya bagi dia pinjam pun sebab dia cakap nak call ibunya kerana telefonnya hilang. Saya ni taklah kejam, jadi saya bagi sajalah. "Tak sangka kena macam ni. Keluarga dia tuduh saya dan dua lagi kawan kerja saya menculik anak mereka sampai diviralkan muka kami dalam Instagram dan Twitter. Mana boleh mereka tuduh kami macam tu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Sejak Isnin lalu, bebenang yang dikongsi akaun dengan tweethandle @thatsiameseguy menjadi perhatian netizen yang bimbang dengan keselamatan gadis itu yang dikatakan sudah dua hari tidak pulang ke rumah disyaki dilarikan beberapa individu. Seorang lelaki memuat naik posting berhubung kehilangan adik perempuannya dengan beberapa keping gambar dengan kapsyen 'Wanted', merujuk kepada individu yang disyaki menculik. Perkongsian itu menerima sehingga hampir 15,000 ulang kicau dengan lebih 2,800 tanda suka di laman Twitter sejak ia dimuat naik pada Ahad lalu. Mengulas lanjut mengenai insiden itu Farra Nadia berkata dia juga terkejut apabila menerima panggilan daripada ibu gadis itu, memaklumkan kehilangan anak perempuannya, sehari selepas dia hilang, pada Sabtu. Sampai dekat live Instagram pun orang panggil kami penculik. Siapa tak geram. Kami pun tahu malu. Orang lain boleh nilai sendiri ini kes culik atau tidak. FARRA NADIA Lebih parah apabila keluarga gadis itu turut didakwa mengganggu dan mengugut mereka dengan pelbagai cara. "Mereka ada call dan tanya mengenai Farhana tapi saya tak tahu nak jawab macam mana sebab saya memang tak tahu di mana dia berada. "Tak puas hati dengan jawapan saya, mereka viralkan tuduh saya dengan kawan lain culik Farhana. Sampai letak gambar muka kami di Twitter. "Sampai dekat live Instagram pun orang panggil kami penculik. Siapa tak geram. Kami pun tahu malu. Orang lain boleh nilai sendiri ini kes culik atau tidak," ujarnya. Dalam pada itu, Farra Nadia memberitahu dia pernah beberapa kali cuba menghubungi abangnya yang juga kekasih Farhana, namun usahanya itu menemui jalan buntu. "Saya ada juga cuba contact abang dan Farhana tapi mereka dua-dua tak dapat dihubungi. Kali terakhir kami berjumpa pada Sabtu lalu di Kuala Perlis. Ketika itu Farhana berpakaian seperti biasa dan hanya bawa beg tangan. Tak nampak pula beg besar. "Lagipun saya tak pernah rapat dengan Farhana kerana kami tak sekepala walaupun dia kekasih abang saya, kami jarang berjumpa," dakwanya lagi. Farra Nadia membuat laporan polis susulan tuduhan culik yang dilemparkan terhadapnya. Selain itu tambah Farra Nadia, tuduhan melulu yang dilemparkan terhadapnya merupakan suatu tuduhan yang sangat berat sehingga menyebabkan dia nyaris kehilangan kerjanya sebagai penari dangdut. "Saya bekerja sambilan sebagai penari, sekadar nak tambah-tambah duit belanja meringankan beban ibu. Nak ikutkan malam ni kami ada rehearsal untuk acara akan datang tapi ada cakap-cakap penganjur macam dah tak mahu ambil kami lagi. Penganjur marah-marah sebab kes ni. "Saya dah tak tahan dan malam tadi saya buat laporan polis kerana tindakan mereka ini menyebabkan saya hampir hilang kerja. Perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ni sudah menutup periuk nasi saya dan rakan-rakan lain juga turut terpalit. "Saya cuma kasihankan ibu saya. Kerana ibu bekerja di Kuala Lumpur dan saya pula duduk di Perlis. Dia terkejut tiba-tiba keluar cerita macam ni," katanya yang juga aktif di akaun TikTok.