BAYANGKAN jika gerak-geri anda diperhatikan walaupun berada di dalam ruang peribadi seperti bilik tidur atau tandas. Pasti menjadi igauan ngeri sekiranya ia dirakam oleh kamera tersembunyi yang bertujuan untuk memerangkap mangsa. Terkini, kecoh mengenai penjualan kamera pengintip di sebuah laman web e-dagang terkemuka selepas pemilik akaun @wanabdulhafidz1 memuat naik posting di Twitter pada Khamis lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Lelaki ini nyaris 'lesap' RM1,500 gara-gara nak beli TV terlajak murah di aplikasi e-dagang ARTIKEL BERKAITAN: “Akaun penipu ditutup dalam masa 24 jam” - Shopee berterima kasih pelanggan bongkar penipuan Tweet tersebut meraih pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sehingga menerima lebih 34,000 ulang kicau dan mendapat lebih 11,000 tanda suka. "Minta kaum hawa (perempuan) agar berhati-hati bila guna tandas awam, hotel, chalet atau bilik persalinan. "Ni CCTV bukan skru dan bersepah jual kat online," ujarnya pada posting berkenaan. Ramai yang bimbang dengan penjualan kamera pengintip secara terbuka dalam talian. Menerusi gambar yang dimuat naik pada posting tersebut, harga bagi seunit kamera tersembunyi tanpa wayar yang kelihatan seperti sebatang skru itu adalah RM135.59. Pelayar Twitter @farhanzahirsyah berkata: "Barang ini harus diharamkan, daripada import ke pasar jualan online." Sementara itu, @_thescapetwt pula berkata: "Kenapa kita semua tidak boleh hidup dalam aman dan harmoni? "Kenapa ada orang rasa mereka perlu jadi miang?," soalnya. Sehubungan itu, mStar Online mendapatkan maklum balas daripada pihak Shopee bagi mengesahkan tentang perkara berkenaan. Shopee menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah menarik barangan yang dijual oleh peniaga terbabit dalam tempoh 24 jam selepas laporan dibuat oleh pengguna laman e-dagang berkenaan. Sesiapa sahaja boleh terperangkap dengan kamera berbentuk skru ini. "Ya, barang tersebut telah dijual di Shopee. "Penjualan ditarik kerana ia mengandungi imej yang dianggap tidak sesuai dan kandungan yang menunjukkan kamera boleh digunakan untuk rakaman yang tidak munasabah tanpa persetujuan orang yang direkodkan," kata wakil Shopee kepada mStar Online, Rabu. Tambahnya, sebilangan besar produk disenaraikan di laman Shopee pada setiap hari dan pihaknya tidak dapat menyemak setiap penyenaraian produk dengan segera. Namun, syarikat e-dagang itu mempunyai pasukan khas untuk mengkaji semula barangan yang disenaraikan oleh penjual dengan mengambil perhatian ke atas kata kunci yang menyinggung, barang larangan dan produk tiruan. Penjualan ditarik kerana ia mengandungi imej yang dianggap tidak sesuai dan kandungan yang menunjukkan kamera boleh digunakan untuk rakaman yang tidak munasabah tanpa persetujuan orang yang direkodkan. WAKIL SHOPEE "Dalam kes ini, penyenaraian itu telah dipadam dan didenda. Penjual dimaklumkan melalui e-mel, notifikasi tolakan dan pemberitahuan pada aplikasi Shopee. "Jika penjual memuat naik penyenaraian atau imej yang serupa berulang kali, Shopee akan terus mengambil tindakan sehingga akaun mereka dibekukan," tegasnya. Shopee turut menyeru agar pengguna aplikasi dan laman web Shopee agar melaporkan tentang sebarang masalah menerusi pautan 'report this product' untuk tindakan selanjutnya. Mereka juga boleh berbuat demikian menerusi e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian 03-2777 9222 pada waktu operasi bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuk cuti umum.