KERINDUAN seorang isteri terhadap suami tercinta yang sudah 'pergi' sungguh meruntun jiwa. Apa yang tinggal hanyalah sebuah kenangan yang tidak mudah untuk dilupakan. Mengimbau kembali nostalgia koleksi surat cinta pada tahun 70-an yang digunakan untuk berkomunikasi, Hanidatul Syamin Mhd Hasan berkongsi beberapa kisah romantis arwah bapa serta ibunya yang saling berhubung melalui medium ini sebelum disatukan sebagai suami isteri. "Arwah abah dan mak mula berkenalan dengan berutus surat sahaja. Bayangkan mak saya letak gambar separuh daripada muka dia sahaja untuk tujuan perkenalan. "Namun lama-kelamaan, mereka mula bercinta dan kebiasaannya, abah akan letak siap-siap sampul serta setem untuk mak balas surat-surat tersebut. Dalam surat itu, macam-macam hal yang mak tulis pada abah. Pasal keluarga, cita-cita, angan-angan dan mak banyak meluahkan isi hatinya pada abah. Salah satu surat yang ditulis oleh ibu Hanidatul Syamin kepada bapanya pada tahun 1975. "Walaupun abah dan mak dari negeri yang sama, Kedah, tapi jarak mereka agak jauh... abah dari Baling manakala mak saya dari daerah Yan," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu. Dalam pada itu, Hanidatul Syamin yang merupakan anak bongsu kepada pasangan Allahyarham Mhd Hasan Salimullah dan Hasna Din ini juga menceritakan saat-saat manis kedua ibu bapanya berkongsi seulas cempedak yang dibahagi dua sehari sebelum bapanya menghadap Ilahi. "Sehari sebelum abah meninggal pada usia 63 tahun, masa itu kami balik kampung dan ada sebiji buah cempedak dari pokok kegemaran abah. Kecil buahnya dan bila buka, ada seulas sahaja. Mak suruh abah makan sebab ada satu saja. Abah belah dua, bagi mak sebelah dan cakap 'mai kita makan sama-sama'. "Itulah penghujung kenangan mak dengan arwah abah sebelum abah pergi buat selama-lamanya. "Sejak abah meninggal pada tahun 2014 ketika pagi hari ketiga Syawal, mak dah tak seceria dulu dan mak pernah cakap, separuh jiwanya dah ikut pergi dengan abah," ujar Hanidatul Syamin yang kini menjadi salah seorang pewaris perniagaan runcit arwah bapanya. Hanidatul Syamin (kanan) bersama ibunya, Hasna. Kisah mengenai kemesraan pasangan suami isteri ini timbul apabila Hanidatul Syamin, 27, memberi komen pada salah satu posting di laman Twitter @izzatihashim_ yang meraih lebih 29,000 ribu ulang kicau (retweet) dan 23,547 tanda suka (like). Dia meninggalkan komen dengan menceritakan tentang kesanggupan arwah bapanya yang tidak pernah gagal menemani ibunya memasak untuk bersahur. Kemudian dia berkongsi kisah ibu bapanya dengan lebih lanjut menerusi bebenang di laman Twitter dengan memuat naik beberapa gambar surat-surat lama yang ditulis oleh kedua orang tuanya. Menerusi postingnya di Twitter, dia juga memberitahu: "Sekarang abah dah hampir lima tahun tak ada dengan kami, setiap hari mak sentiasa teringat dekat abah dan selalu mengaji sebab nak berkongsi pahala dengan abah. Dia betul-betul jatuh cinta dengan arwah abah," katanya. Selain itu, rata-rata netizen turut memberi komen menyatakan rasa kagum mereka selepas melihat bebenang yang dibuat oleh Hanidatul Syamin di Twitter. "Secara jujurnya, mana nak cari lagi lelaki seperti arwah abah awak," tulis @_mfdks. "Takkan ada lelaki yang kasihnya setanding seorang ayah," tulis @syedaarifin. "I suka part hantar surat itu, rasa comel sangat hehe," tulis @fatintandori.