TIADA jalan singkat untuk cantik! Namun, amaran demi amaran yang diberikan oleh para pengamal perubatan sering diendahkan oleh masyarakat. Selepas penggunaan pendakap gigi palsu tular dan banyak dilaporkan oleh pihak media, kini muncul pula satu trend baharu dalam bidang kosmetik gigi melibatkan pemakaian veneer tiruan. Trend yang semakin membimbangkan itu membuatkan seorang doktor gigi tampil bersuara untuk menyedarkan orang awam tentang bahaya penggunaannya. Melalui perkongsian di Twitter pada Rabu lalu, Dr Ibrahim Shahruddin mengupas tentang risiko pemakaian veneer tiruan 'sampah' yang dipromosikan secara online oleh peniaga tidak bertanggungjawab. Posting tersebut menerima lebih 4,000 ulang kicau dan mendapat lebih 1,300 tanda suka. Beliau ketika dihubungi mStar Online berkata, ramai pengguna yang sanggup merisikokan kesihatan mereka untuk kelihatan cantik dan menutup kekurangan yang ada pada gigi mereka. "Mereka ambil jalan mudah untuk menutup kerosakan, gigi jarang atau berlubang. "Mereka juga takut jumpa doktor gigi dan mungkin kos memakai veneer tiruan itu murah berbanding kos di klinik gigi berdaftar," katanya yang sudah 10 tahun bergelar doktor gigi. Bagi yang tidak tahu, veneer gigi adalah prosedur perubatan bertujuan memperbaiki penampilan gigi seseorang dengan cara menampal veneer di bahagian depan gigi. Veneer dapat menutup kecacatan pada gigi seperti bentuk, warna dan ukuran gigi yang tidak sesuai atau tidak disukai oleh pesakit. Tolonglah jangan cuba-cuba gadaikan kesihatan anda dengan menjalani prosedur sebegini. Kalau sudah terjebak, hubungi klinik gigi berhampiran hari ini juga untuk dapatkan rawatan segera. DR IBRAHIM SHAHRUDDIN DOKTOR PERGIGIAN Menurut Dr Ibrahim, veneer tiruan itu hanya menutup permukaan luaran gigi dan tidak berfungsi membuat rawatan yang sepatutnya untuk membaiki gigi mereka terlebih dahulu. Penggunaan veneer palsu itu mula menunjukkan kesan buruk seawal satu atau dua hari selepas ia dilakukan. "Kebanyakan rawatan (veneer tiruan) ini dibuat di negara jiran selepas dipengaruhi oleh rakan-rakan. Sebaik sahaja mereka balik ke Malaysia, kesan sampingan mula kelihatan. "Bila mereka jumpa saya, pertama sekali saya perasan mulut mereka berbau busuk kerana sisa makanan yang terlekat pada gigi, veneer itu dibuat di atas semua gigi sehingga tidak boleh floss menyebabkan plag tidak boleh dibersihkan dengan betul dan akhirnya gusi mengalami keradangan," jelasnya. Dr Ibrahim memiliki pengalaman sebagai doktor gigi selama 10 tahun. Kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia itu, kes yang lebih teruk adalah apabila pesakit tidak boleh menutup mulut dengan betul dan sakit rahang akibat daripada perbuatan tersebut. Doktor gigi yang bertugas di klinik iCare Dental Damansara Heights, Kuala Lumpur itu berkata, pengamal-pengamal pergigian mula meluahkan kebimbangan terhadap isu tersebut yang dilihat semakin serius menular di negara ini. "Ramai yang sudah berani mempromosikan kegiatan penipuan mereka secara terbuka di Instagram. "Tolonglah jangan cuba-cuba gadaikan kesihatan anda dengan menjalani prosedur sebegini. Kalau sudah terjebak, hubungi klinik gigi berhampiran hari ini juga untuk dapatkan rawatan segera," pintanya. Dalam pada itu, Dr Ibrahim juga berpandangan bahawa punca utama yang menyebabkan peniaga mudah mengambil kesempatan adalah kerana orang ramai takut untuk bertemu doktor gigi. Katanya, kadang-kadang kos membuat rawatan veneer bukanlah faktor utama pengguna memilih untuk memasang veneer tiruan. Harga veneer tiruan yang ditawarkan oleh dua peniaga Instagram berbeza. Anggaran kos pemasangan veneer asli adalah serendah RM180 ke RM1,800, bergantung kepada jenis venier yang digunakan. Tinjauan mStar Online mendapati harga veneer tiruan juga tidak kurang mahalnya! Harga yang ditawarkan adalah antara RM1,100 hingga RM2,200 bagi 16 batang gigi. Antara jenis veneer yang ditawarkan di klinik-klinik gigi adalah porselin, komposit, palatal, lumineer dan venier tidak kekal. Beliau turut menasihatkan agar pengguna media sosial mendapatkan maklumat terkini berhubung isu kesihatan menerusi akaun Twitter @MedTweetMYHQ. Ramai dah tag saya mengenai fake veneer. Sempena #WOHD19 mari kita kupas kenapa fake veneer sampah ni boleh membahayakan kesihatan mulut anda. Kalau ada kenalan yang memakai fake veneer, suruh mereka jumpa dentist segera!#ActOnMouthHealth #MedTweetMY pic.twitter.com/STFMOR2ctF — Dr ib shah | ayiem (@ib_shah) March 20, 2019