KU sangka panas hingga petang, rupanya hujan di tengah hari! Begitulah yang dapat menggambarkan kisah percintaan seorang gadis tempatan yang kecundang gara-gara sikap panas baran teman lelakinya yang berasal dari timur tengah. Kisah itu dikongsikan sendiri oleh tuan empunya badan, Amara Ikhbal menerusi laman Twitter pada Selasa. Bercerita kepada mStar Online, Amara berkata dia mula berkenalan dengan lelaki tersebut sewaktu mereka sama-sama belajar di sebuah universiti swasta di ibu negara, beberapa tahun lalu. "Kami bermula sebagai kawan sahaja, selepas itu baru bercinta, sekitar tahun 2016. Masuk bulan keempat, dia mula panggil saya pelacur sebab saya bercakap dengan kawan lelaki. "Yang paling teruk, dia pernah minta saya ke rumah dia. Dia soal siasat dan baling pisau serta seterika sebab cemburu buta," katanya ketika dihubungi pada Rabu. Paparan skrin perkongsian Amara di Twitter. Amara membuat perkongsian itu sebagai respon balas kepada satu tweet tular mengenai gadis yang masih setia dan bertahan dengan teman lelaki yang bersikap suka mendera. Perkongsian itu menerima hampir 500 ulang kicau (Retweet) dan turut menarik komen pelayar laman sosial itu. Beberapa hari lepas dia follow akaun Twitter saya, selepas itu dia block pula. AMARA Menurut gadis berusia 22 tahun itu, dia bersyukur apabila lelaki itu enggan meneruskan perhubungan mereka setelah bercinta selama setahun setengah, atas sebab yang tidak dapat dipastikan. Dia yang kini bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di ibu kota juga mengakui serik untuk bercinta dengan lelaki dari negara Arab. "Memang serik, saya tak nak lelaki dari Arab. Saya pun tak pasti dia di mana sekarang. Ada cakap dia dah balik sana, ada yang kata dia masih berada di sini. "Beberapa hari lepas dia follow akaun Twitter saya, selepas itu dia block pula," jelas Amara yang kini bahagia dengan teman lelaki dari Sri Lanka. Mengimbas episod malang dalam hidupnya itu, Amara berkata dia masih lagi mengalami trauma sehingga hari ini. Malah, dia juga berharap agar mana-mana wanita yang didera oleh pasangan mereka supaya kuat dan cuba mencari jalan untuk keluar dari kemelut itu. Amara masih trauma sehingga hari ini. Gambar Hiasan -Jaracanda FM. "Saya masih trauma, tak boleh tidur. Bangun malam, teringat perkara itu dan menangis. "Kalau ada yang kena macam ni, sepatutnya lapor kepada pihak polis. Saya dulu tak buat laporan sebab bimbang dia akan buat lebih teruk kepada saya," katanya. Amara berkata, susulan perkongsiannya, dia turut menerima direct message (DM) beberapa individu yang berkongsi pengalaman serupa. "Kalau ada yang DM, saya sedia untuk bantu dan bagi sokongan. Tak ada wanita yang layak diperlakukan sebegitu oleh mana-mana lelaki. "Saya juga percaya lelaki yang menganiayai wanita tidak akan hidup bahagia sampai bila-bila," katanya lagi.