MAJLISNYA tak meriah, tetapi ramai yang memuji serta mengirimkan doa buat pasangan muda ini. Berlangsung pada Ahad, foto majlis pertunangan serba ringkas perenang paralimpik S14 Malaysia, Anas Zul Amirul Sidi, 19, bersama Suffi Mazatulnizam, 20, tular di laman Twitter. Bercerita kepada mStar Online, Suffi yang mesra disapa Sue berkata, mereka pada mulanya merancang untuk mengadakan majlis merisik sahaja pada hari tersebut. “Kami dah lama rancang, dari tahun lepas lagi. Sebenarnya majlis merisik sahaja, tapi dia (Anas) dah beli cincin tunang dan cincin nikah, jadi kami bertunang terus. "Memang buat ringkas sahaja, dia pun bawa cincin dan buah tangan, datang berdua dengan mak dia,” kata Sue sewaktu dihubungi pada Isnin. Suffi dan Anas. Mengimbas perkenalannya dengan jejaka itu, Sue berkata, dia dan Anas pernah berjiran ketika mereka sama-sama tinggal di Seremban, Negeri Sembilan, sewaktu mereka masih kecil. Selepas itu, Sue berpindah ke Jempol sebelum kembali ditakdirkan bertemu semula dengan Anas sewaktu dia menjadi sukarelawan untuk Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur. “Saya daftar jadi sukarelawan sebab sebelum itu saya juga pernah bertugas untuk Sukan SEA. Mula-mula saya nak jadi sukarelawan untuk sukan bola sepak, tetapi dah penuh. “Jadi saya pilih sukan renang. Tak tahu pun Anas ada. Apabila saya tengok senarai atlet, macam 'familiar' nama dia, jadi masa tu saya jaga keluarga Anas,” ujar Sue lagi. Selain budi pekerta serta sikap tolak ansur jejaka itu, Sue mengakui latar belakang keluarga turut menjadikan mereka lebih serasi. Majlis pertunangan kami simple sangat. Baju saya pakai tu baju kurung biasa untuk pergi kelas, Anas pakai baju jalan-jalan dia. Mekap pun saya buat sendiri. Makan-makan pun kat dapur je, macam saudara mara balik time berbuka puasa tu. SUFFI MAZATULNIZAM Kata Sue, ibu bapa Anas sudah bercerai, begitu juga dengan ibu bapanya. Ia sekali gus menyebabkan Sue lebih mudah untuk memahami hati Anas setiap kali dia berkongsi masalah. Anas merangkul pingat emas dalam acara 100 meter gaya bebas S14 sewaktu Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017. “Sejarah hidup kami hampir sama, apabila dia mengadu, saya faham dan tahu nak kawal emosi dia. “Tapi, dia memang seorang yang cukup mengambil berat, bertolak ansur dan boleh memberi pendapat yang matang. “Mak dan nenek saya pun sangat sukakan Anas, dia sangat berbudi bahasa,” kata Sue yang juga penuntut bidang Komunikasi Massa di sebuah universiti di ibu negara. Antara detik yang dirakam sewaktu majlis pertunangan mereka pada Ahad. Menurut Sue, Anas yang juga atlet paralimpik yang mengalami masalah pembelajaran (slow learner) akan mewakili Malaysia untuk pertandingan renang ke tiga buah negara pada tahun ini. Disebabkan itu, tarikh perkahwinan mereka belum ditetapkan lagi tetapi ia berkemungkinan bakal berlangsung pada bulan September atau Disember tahun ini. Mengulas usia mereka yang masih muda, Sue berkata, ia bukanlah satu masalah kerana dia merasakan sudah tiba masanya mereka mendirikan rumah tangga. Dalam tahun ini, Anas akan bertandang ke Singapura, Portugal dan Filipina untuk mewakili Malaysia dalam sukan renang. “Dia duduk seorang je di KL. Saya banyak bantu dia, dia pun selalu bantu saya. Kami muda dan serasi, Anas jaga saya sepenuhnya. Apa salahnya nikah terus," katanya lagi. Dalam perkongsian di Twitter, Sue turut memaklumkan dia hanya memakai baju kurung biasa untuk ke kelas dan wajahnya juga ditatarias sendiri tanpa bantuan jurumekap. Paparan skrin posting tular Sue di Twitter. “Majlis pertunangan kami simple sangat. Baju saya pakai tu baju kurung biasa untuk pergi kelas, Anas pakai baju jalan-jalan dia. “Mekap pun saya buat sendiri sendiri. Makan-makan pun kat dapur je, macam saudara mara balik time berbuka puasa tu,” ujarnya lagi. Dalam pada itu, rata-rata pelayar Twitter turut menghujani ruangan balas di posting berkenaan yang menerima lebih 5,000 ulang kicau (Retweet) sejak ia dimuat naik pada petang Ahad. “Hope so dapat buat majlis tunang simple macam ni. Aku tak peduli apa kata makcik pakcik bawanggg. Hahaha,” tulis @ainnabilaazman. “Pehhh, bukan calang calang juga ni tapi sederhana sangat majlis ... Tabik ah.. Tahniah dik... Moga kekal dunia akhirat.. Moga dipermudahkan semuanya,” tulis @Zhazha2525. Untuk rekod, Anas pernah memenangi pingat emas dalam acara 100 meter gaya bebas S14 (masalah pembelajaran) Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017). Dalam kejohanan itu, Anas mencatat kepantasan 59.79 saat meninggalkan pencabar terdekatnya dari Singapura, Benson Seng (1 minit, 01.38s) di tempat kedua dan kedudukan ketiga menjadi milik seorang lagi perenang Malaysia, Zhi Weng Zadrian Chan (1:01.70s) Anas merupakan anak kepada perenang berpengalaman negara, Zul Amirul Sidi Abdullah.