suria

Awas ‘moodnya’ tak baik! Ibu jawab kenapa 'Inspektor Matin' muka masam

Matin Hilman dalam persalinan lengkap seorang pegawai polis berpangkat inspektor. - Facebook Kikiey Fiziey

"AWAS, jangan bergerak!"

Mungkin itulah kata-kata yang akan dikeluarkan oleh Inspektor Matin sekiranya bergelar seorang pegawai polis suatu hari nanti.

Beberapa gambar seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun memakai uniform polis berpangkat inspektor tular di media sosial.

Tambah mencuit hati, anak kepada anggota polis Koperal Muhamad Hafizi Mat Deris, 31, yang bertugas di Balai Polis Bukit Besi itu memberikan riak wajah garang persis seorang inspektor yang sebenar.

Ibu 'Inspektor Matin', Khairah Mohamad, 29, berkata, mood anaknya, Matin Hilman tidak berapa baik ketika gambar tersebut dirakam kerana terpaksa bangun awal pagi untuk menghadiri acara perbarisan sempena sambutan Hari Polis yg ke-212 di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dungun, Terengganu pada Isnin.

Matin Hilman bersama ibu-bapanya pada sambutan hari raya peringkat IPD Dungun pada tahun lalu (gambar kanan).

"Muka dia agak masam sebab dia bad mood bila kami kejutkan dia bangun pukul 6.15 pagi untuk ke IPD Dungun.

"Mungkin dia tidak cukup tidur dan tak sempat sarapan. Bila dah sampai sana, ramai pula yang tegur dia... mungkin dia tidak biasa orang ramai-ramai datang tengok dia," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Kata Khairah, idea untuk memakaikan puteranya uniform tersebut timbul selepas dia dan suami ternampak posting kanak-kanak memakai uniform sama di laman Facebook Friends of PDRM pada tahun lalu.

Surirumah tersebut kemudian membuat tempahan di sebuah kedai jahitan di Kuala Terengganu dengan mengikut ukuran badan anaknya itu.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, tukang jahit mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkan sepersalinan uniform pegawai kecil berpangkat inspektor tersebut.

Mungkin dia tidak cukup tidur dan tak sempat sarapan. Bila dah sampai sana, ramai pula yang tegur dia... mungkin dia tidak biasa orang ramai-ramai datang tengok dia.

KHAIRAH

Kos bagi menghasilkan persalinan lengkap itu adalah sebanyak RM250, termasuk baju, seluar, kasut dan aksesori.

Sebaik mengetahui gambar Matin Hilman tular, Khairah mengakui mereka sekeluarga berasa teruja dan pada masa sama bimbang sekiranya ia disalahgunakan.

"Ini kali pertama (tular), tapi kami agak teruja. Bimbang tu memang ada sebab takut ada orang salah guna untuk tujuan yang tidak baik.

"Ada juga yang mesej nak minta izin untuk guna gambar Matin, kami beri sahaja. Tapi, kami pesan agar jangan salah guna sahaja," jelasnya.

Ini pula gelagat Matin Hilman yang dirakam semula dua hari lalu di Balai Polis Bukit Besi sebagai kenangan.

Wanita yang berasal dari Gua Musang, Kelantan itu turut memberitahu anaknya gemar berkawad apabila melihat suaminya mengenakan uniform polis.

Namun, pasangan suami isteri itu tidak memberi paksaan kepada Matin Hilman untuk memilih kerjaya yang diingininya pada masa depan.

Inspektor cilik itu juga gemar menonton rancangan kartun Robocar Poli yang menampilkan watak animasi kenderaan pasukan penyelamat dan beruniform.

"InsyaAllah tahun depan kami akan alter uniform ini untuk Matin pakai sekali lagi.

"Mungkin masa tu dia dah besar sedikit dan tidak lagi kekok berjumpa orang ramai," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain