SEBELUM ini kecoh kisah seorang remaja berusia 15 tahun membuat permintaan daripada penjual dalam talian, untuk mendapatkan telefon pintar terpakai yang dijual, secara percuma. Bagaimanapun, seorang gadis pada awal pagi Sabtu yang mendakwa dirinya sebagai kakak kepada remaja itu membuat bebenang di Twitter, memberitahu seseorang telah menyamar sebagai adiknya untuk ‘mendapatkan iPhone terpakai secara percuma’ itu. ARTIKEL BERKAITAN: 'Dunia nak kiamat, takut tak sempat ada iPhone' - Pelajar PT3 mesej peniaga online minta telefon percuma Bebenang di Twitter mengenai seorang kakak mengenai identiti adiknya dicuri menerusi akaun palsu. Kakak sulung kepada remaja berkenaan, Putri Nur Athierah Norhisam, 20, mendakwa, bukan adiknya yang menghantar mesej meminta iPhone secara percuma itu sebagaimana dalam perbualan menerusi aplikasi Carousell yang tular di media sosial. “Adik saya tak ada akaun Carousell pun. Ada orang cuba menyamar sebagai dirinya dengan menghantar mesej di aplikasi itu. “Nama adik saya dah busuk disebabkan gambarnya tular menerusi perbualan yang dah tular di media sosial,” katanya kepada mStar Online mengenai nasib adiknya yang merupakan anak kedua daripada empat adik beradik. Saya nasihatkan kepada semua jangan sebar sesuatu kalau tak sahih. Seperti adik saya, dia sekarang menjadi mangsa buli siber disebabkan ada pihak cuba menyamar sebagai dirinya. Putri mStar Online pada Jumaat melaporkan seorang pelajar yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini, meminta iPhone secara percuma daripada seorang penjual dalam talian dengan memberi alasan dunia nak kiamat, dikhuatiri dirinya tidak berpeluang menggunakan telefon pintar tersebut. Perbualan menerusi Carousell itu kemudian dimuat naik oleh penjual tersebut sehingga menjadi tular. Perbualan seorang penjual iPhone terpakai bersama seorang remaja 15 tahun. Berdasarkan luahan adiknya sebelum ini, Putri berkata, adiknya percaya ia kemungkinan angkara individu yang dikenali berikutan satu insiden perselisihan faham membabitkan rakan-rakan di sekolah asrama di Johor. Susulan kisah yang tular, Putri memberitahu bahawa adiknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Indah di Iskandar Puteri, Johor pada pagi Sabtu, berhubung identitinya digunakan menerusi akaun palsu. Putri berkata, laporan polis itu dibuat dengan ditemani bapa mereka kerana berasa terancam dan mahu membersihkan nama adiknya. Sebagai kakak, dia menasihatkan adiknya itu supaya bertenang agar isu ini tidak mengganggu pelajarannya dan berhati-hati dalam memilih kawan. “Adik beritahu dia rasa terganggu. Disebabkan hal ini, adik saya tak jadi balik asrama hari ini. Sebab katanya dia malu. “Oleh itu, saya nasihatkan kepada semua jangan sebar sesuatu kalau tak sahih. Seperti adik saya, dia sekarang menjadi mangsa buli siber disebabkan ada pihak cuba menyamar sebagai dirinya,” ujar Putri yang turut bimbang isu tersebut akan mengganggu pelajaran adiknya. Laporan polis berhubung akaun palsu. Sementara itu, penjual iPhone terpakai tersebut, Abdul Rahman Mohd Jamadi berkata, dia telah berhubung dengan kakak kepada remaja terbabit bagi mencari jalan penyelesaian. Bagaimanapun, pemuda berusia 27 tahun itu berpandangan tidak relevan untuk seseorang itu membuat akaun palsu di Carousell hanya untuk mendapatkan iPhone percuma. "Carousell tu aplikasi untuk jual beli, biasanya penjual yang guna akaun palsu untuk menipu pembeli, atau pembeli cuba menipu semasa urusan jual beli, dan bukannya minta percuma. "Bagaimanapun, saya akan bersemuka dengan remaja terbabit dan ayahnya untuk berbincang mengenai perkara ini," ujarnya.