suria

Jual air sambil buat choral speaking, pelanggan ‘layan’, beratur panjang pun OK

Tiga sekawan tampil dengan cara unik untuk mempromosikan jualan mereka.

IDEA kreatif dan unik boleh membantu peniaga untuk melariskan barang jualan mereka sekali gus dapat menjana pendapatan lumayan.

Baru-baru ini sebuah video tular di laman Instagram apabila pasangan suami isteri, Mohammad Fauzi Md Hafiz, 25, dan Norshakila Atika Ab Jamal, 23, mencipta kelainan dengan menyanyi ala 'choral speaking' di Uptown Pahlawan Walk, Melaka untuk menarik perhatian pelanggan membeli air balang serta sushi yang dijual di gerai mereka.

Video yang dimuat naik di Instagram oleh pengguna akaun @heyrahhh itu mendapat kira-kira 88,731 tontonan sejak dimuat naik pada 23 Mac lalu.

Minuman yang dijual termasuk air mangga, buah naga, teh ais serta teh hijau dengan harga serendah RM3 segelas.

Norshakila ketika dihubungi mStar online berkata dia tidak menyangka gerainya menjadi viral dan mendapat perhatian ramai gara-gara nyanyian ala 'choral speaking' itu.

Norshakila Atika dan suaminya Mohamad Fauzi membuka gerai air balang di Uptown Pahlawan Walk, Melaka.

“Lepas viral itu, suami saya dan dua orang pekerja tak terlayan pelanggan sebab ramai yang datang secara serentak.

“Tapi mereka tetap menyanyi  sambil menjawab soalan-soalan biasa pelanggan yang nak tahu harga dan jenis air yang dijual.

“Bila pelanggan pertama tanya, mereka bertiga akan jawab dulu. Walaupun penat juga nak menjawab sambil menyanyi tu, tetapi mereka tetap puas hati," katanya.

Norshakila yang berasal dari Melaka itu berkata setakat ini pelanggan memuji air yang dijual sedap selain terhibur dengan kaedah jualan seperti itu sementara menunggu giliran membeli mereka tiba.

Norshakila juga memberitahu dia dan suaminya mula membuat strategi pemasaran sebegitu  sejak tahun lepas.

“Dah lama kami rancang, tujuannya kerana strategi marketing dan kami nak buat pelanggan gembira.

“Mereka bertiga termasuk suami saya ambil masa sebulan untuk belajar cakap serentak dan bukan senang sebenarnya nak buat semua dengan serentak.

“Kami juga ada sediakan tester air percuma untuk pelanggan jadi mereka boleh rasa dulu dan kemudian boleh pilih nak beli air yang mana satu," ujar ibu kepada seorang anak lelaki ini.

Dah lama kami rancang, tujuannya kerana strategi marketing dan kami nak buat pelanggan gembira.

NORSHAKILA ATIKA

Dengan tagline 'lagi padu lagi kaw lagi piaw punya', 'bukan biasa-biasa' dan 'malu apa bossku', ia nyata menceriakan pengunjung yang datang ke gerai Kaw Kaw by Bro Fattah.

Dalam pada itu, Norshakila menceritakan perniagaannya bersama suami bermula sejak November 2017 sehingga kini di Uptown Pahlawan Walk, bandar Hilir Melaka.

“Selain Uptown, kami ada juga berniaga di pasar malam Pulau Gadong pada Rabu dan Sungai Udang pada Khamis. Kebiasaannya kami akan cuti pada Isnin dan Selasa.

“Uptown Pahlawan Walk selalunya kami akan buka pada hujung minggu. Tapi jika ada cuti umum, kami akan buka juga.

“Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada semua yang telah singgah beli dan insyaAllah kami akan sentiasa menyediakan kualiti makanan dan minuman yang terbaik untuk pelanggan," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain