KALAU sudah dikurniakan jari-jemari yang mampu memberikan sentuhan magis, sesiapa pun pasti akan terpukau dengan hasil kerjanya! Begitulah bakat seorang remaja lelaki ini yang videonya di media sosial menjadi perhatian ramai gara-gara kebolehannya melakukan transformasi pada wajah kakaknya, Effa' Azura Mat Zin. Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Muhammad Isma Danial Mat Zin, 22, berkata dia mengambil peluang menata rias wajah kakaknya itu sebaik sahaja wanita itu menyatakan keinginan untuk menukar imej dan penampilan diri dengan berhijab serta bersolek. "Masa tu kami sekeluarga berkumpul di rumah untuk makan malam bersama. Lepas habis makan malam tu, tinggal saya dan Effa je di meja makan. Tiba-tiba dia beritahu saya dia nak start pakai tudung dan mula belajar mekap sebab dia dapat naik pangkat dekat tempat kerja dia. "Saya sebagai adik yang paling rapat, saya gembiralah dengan berita tu dan saya terus offer untuk solekkan dia. Sebenarnya dah lama saya teringin nak mekap muka dia. Jadi bila hati dia dah terbuka untuk disolek, saya pun tak lepas peluanglah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Danial merakam tutorial ketika menata rias wajah kakaknya berjaya memukau netizen di laman Twitter miliknya. Video berkenaan memaparkan aksi Danial melakukan transformasi pada wajah kakaknya menggunakan kemahiran yang ada pada dirinya sehingga Effa yang berambut pendek di awal video berkenaan seolah-olah bertukar menjadi wanita lain yang begitu ayu setelah mendapat sentuhan Danial. Danial menulis kapsyen "Transformasi kakak saya, Effa. Dia bekerja sebagai pelatih pengawal keselamatan. Sebelum video ini direkod, dia menyatakan hasrat untuk berhijab dan belajar bersolek. Saya tawarkan make over pada dia" menerima lebih 120,000 tontonan dengan lebih 5,000 ulang kicau dan lebih 8,000 tanda suka di laman Twitter. Pada awalnya reaksi Effa lepas habis mekap, dia cakap 'susahnya nak mekap macam perempuan ni'. Almaklumlah first time... kalau nak tahu, bedak bayi itulah makeup, foundation dan segala-galanya bagi dia! Tapi tak sangka tiba-tiba dia sebak lepas tengok diri dalam cermin. Mungkin sebab dia tak yakin dengan diri lebih-lebih lagi bila ramai yang herdik dan kutuk sebab saiz badan dia begitu. DANIAL Tambah Danial, dia terkejut melihat reaksi kakaknya yang sebak sebaik dia selesai mendandan wajahnya itu. "Seperti wanita lain, Effa pernah berambut panjang sehinggalah dia bekerja sebagai security trainer, baru dia potong rambut pendek. Sebab dia rimas kalau bekerja dengan rambut panjang lebih-lebih lagi apabila dia seorang yang bersaiz besar. Sebagai adik yang paling rapat dengan Effa, dia sering mengadu nasib menjadi bahan ketawa rakan-rakan kerana merasakan mempunyai kekurangan dari segi fizikal. "Pada awalnya reaksi Effa lepas habis mekap, dia cakap 'susahnya nak mekap macam perempuan ni'. Almaklumlah first time... kalau nak tahu, bedak bayi itulah makeup, foundation dan segala-galanya bagi dia! Tapi tak sangka tiba-tiba dia sebak lepas tengok diri dalam cermin. Mungkin sebab dia tak yakin dengan diri lebih-lebih lagi bila ramai yang herdik dan kutuk sebab saiz badan dia begitu. "Apabila saya tunjuk muka kakak selepas disolek pada mak, dia juga terkejut dan menangis tengok wajah kakak saya sebab dia sendiri tak pernah tengok muka kakak saya dirias begitu," ujarnya sambil menyifatkan Effa seorang wanita yang agak kasar, lasak dan nampak 'ganas'. Ketika ditanya mengenai bakat solekan yang dimilikinya, Danial memberitahu biarpun minatnya dalam bidang solekan bermula sejak kecil lagi namun dia mula menagmbil kelas dan belajar secara serius sekitar enam bulan lalu. Antara pujian dari netizen buat Effa. "Sebelum ini saya hanya buat kesan khas mekap masa bekerja sebagai penari dekat Sunway Lagoon. Lepas tiga tahun di situ, saya tukar kerja dan mula belajar secara serius untuk solekan begini. "Saya bermula dengan sifu saya iaitu Asyraf Sulaiman. Dia yang ajar saya teknik asas solekan. Masa mula-mula belajar dulu saya mekap diri sendiri saja sebab tak mampu untuk upah model. Kemudian saya tanya Asyraf apa kekurangan solekan dan mana lagi harus saya perbaiki. "Lepas dua tiga bulan mekap diri sendiri, baru saya berkeyakinan untuk masuk pertandingan dan sejak daripada situ barulah ramai yang DM minta saya mekap mereka. Dari situ membuka ruang buat saya bekerja sebagai jurusolek sambilan," katanya yang kini bekerja di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Kuala Lumpur. Rata-rata netizen kagum dengan kebolehan Danial menata rias wajah kakanya, Effa. Jelasnya lagi meskipun karier sebagai jurusolek bukan pekerjaan pilihan dalam keluarga, namun tanggapan itu salah apabila dia akhirnya berjaya membuktikan kerjaya itu turut memberi kelebihan kepada dirinya. "Sebelum ini ibu saudara, makcik-makcik saya tidak begitu gemar saya terlibat dalam bidang kecantikan ini... tapi setelah makin dikenali, mereka akhirnya menerima bakat saya ini. "Alhamdulillah setakat ini ramai yang memberi reaksi positif terhadap hasil seni saya," katanya.