suria

'Dunia nak kiamat, takut tak sempat ada iPhone' - Pelajar PT3 mesej peniaga online minta telefon percuma

Aman menerima mesej yang dianggap pelik tetapi menghiburkan susulan memuat naik iklan menjual telefon pintar. Foto ihsan Abdul Rahman Mohd Jamadi

BUKAN semua benda dalam dunia ini percuma, tapi kalau sampai barang yang hendak dijual pun ada yang merayu minta diberikan percuma, lain pula ceritanya!

Begitulah yang dialami oleh seorang pemuda yang mahu menjual sebuah telefon pintar terpakai di aplikasi Carousell, apabila item tersebut mendapat perhatian seorang pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja jual buah pinggang beli iPhone & iPad tujuh tahun lalu sedang menderita sakit

ARTIKEL BERKAITAN: iPhone kesayangan dirampas, gadis 16 tahun telefon polis, tuduh bapa mencuri

Menerusi bebenang di Twitter pada Rabu, pemuda bernama Aman berkongsi paparan skrin perbualannya bersama seorang pengguna yang mahu telefon itu diberi percuma.

Seorang pemuda mahu menjual telefon pintar terpakai menerusi apliaksi Carousell.

Menerusi paparan skrin yang dikongsi, pengguna berusia 15 tahun itu cuba memancing Aman dengan meminta agar permintaannya dipenuhi sebelum peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

“Nak percuma boleh? Teringin sangat. Teringin sebelum PT3 bang. Dah lama cari ip (iPhone). Dunia nak kiamat, takut tak sempat ada ip,” ujarnya menerusi perbualan yang menjadi tular dan diulang kicau lebih 14,000 kali.

Aman atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mohd Jamadi, 22, memberitahu dia berasa teruja sebaik menerima mesej pertama pelanggan yang menunjukkan minat terhadap telefon pintar itu, hanya kira-kira 10 minit selepas memuat naik iklan jualan di aplikasi berkenaan.

Bebenang di Twitter mengenai perbualan seorang remaja yang mahu telefon pintar secara percuma.

Namun, katanya, ia sekadar mesej yang mahukan telefon pintar yang dijualnya itu diberi percuma. Pada mulanya ia kedengaran pelik tetapi menghiburkan.

“Saya tak marah pun, rasa terhibur. Walaupun darah menyirap juga sebab budak ni main-main, tapi saya layankan saja. Dia bergurau, saya pun bergurau juga.

“Saya beri kata-kata motivasi untuk dia dapat semua A dalam PT3, baru boleh dapat sesuatu tu sebagai percuma atau hadiah. Saya dulu, kena berhempas-pulas belajar dan dapat A, baru boleh nak minta hadiah sebagai ganjaran. Bukannya sebelum peperiksaan,” katanya kepada mStar Online.

Perbualan Aman bersama seorang remaja 15 tahun dianggap menghiburkan.

Walaupun pada awalnya berasa kagum, tetapi bagi Aman terdapat ungkapan remaja itu yang dirasakan tidak sensitif kerana memperkatakan tentang kiamat dengan cara yang tidak sesuai.

“Saya pada mulanya kagum sebab pada usianya yang masih muda, dia boleh fikir mengenai realiti yang dunia akan kiamat suatu hari nanti. 

Sepatutnya dia kejar untuk kumpul amalan dan ibadah kalau tahu dunia akan kiamat, bukannya fikir duniawi nak telefon pintar, lebih mementingkan gajet.

AMAN

“Sepatutnya dia kejar untuk kumpul amalan dan ibadah kalau tahu dunia akan kiamat, bukannya fikir duniawi nak telefon pintar, lebih mementingkan gajet,” ujar Aman yang berasal dari Skudai, Johor.

Aman yang merupakan anak keempat daripada enam beradik ini bagaimanapun tidak mengambil serius tindakan remaja berkenaan yang difahamkan telah menukarkan gambar dan profilnya, sejak bebenangnya di Twitter menjadi tular.

Aman banyak memuat naik iklan jualan komputer riba terpakai. Foto ihsan Abdul Rahman Mohd Jamadi

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan Mekanikal Asli di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai ini mendedahkan banyak pertanyaan lain diterima berhubung iklan jualan telefon pintar itu.

“Saya sekadar tolong jualkan telefon kakak ipar. Lepas tular, ramai pembeli berpotensi dan insyaAllah sudah ada pembeli yang bersesuaian. 

“Tapi yang lucunya apabila beberapa pengguna mesej kata ‘Saya bukan budak PT3’ sebab mereka tak nak anggap mesej mereka sekadar untuk main-main tapi mereka memang bercadang untuk beli,” katanya yang yang mengusahakan bisnes komputer riba terpakai dan khidmat urut serta bekam.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain