SEJAK kebelakangan ini, trend menyatakan pendapat tidak popular atau 'unpopular opinion' semakin kerap dikongsikan oleh pengguna Twitter. Pendapat tidak popular merujuk kepada pendapat yang jarang digunakan oleh orang ramai tetapi dipersetujui oleh segelintir individu yang bersependapat dengan kenyataan yang diberikan. Terdapat pelbagai pendapat tidak popular mula membanjiri susur masa di Twitter dan terkini seorang lelaki mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung peminat K-Pop. ARTIKEL BERKAITAN: "Kita tak pernah buat derma kilat nak pergi konsert" - Peminat Kpop bengang dicop bodoh, tayang 'result' cemerlang "Unpopular opinion: Perempuan yang minat K-Pop selalunya tak lawa dan tak matang," ujarnya pada posting tersebut pada 20 Mac lalu. Susulan itu, seorang graduan Ijazah Sarjana Teknologi Rekaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tampil menyangkal kenyataan tersebut sambil memuat naik gambarnya menggayakan jubah konvokesyen. Pereka sambilan, Puteri Ariana A. Mohd Puat menerusi sebuah posting di Twitter berkata: "Mana tweet kata orang minat K-Pop tak matang? Please (tolong). "I finished my masters on time while stanning EXO. Along with ANC award (Saya menamatkan ijazah sarjana pada masanya sambil meminati EXO, bersama-sama dengan Anugerah Naib Canselor," katanya yang memuat naik posting itu pada Rabu. Janganlah kata kami ni tidak matang. Saya rasa saya matang kerana dapat habiskan pengajian walaupun sering ke acara yang berkaitan kumpulan kegemaran saya, EXO. PUTERI ARIANA Posting tersebut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan pelayar Twitter dan menerima lebih 4,300 tanda suka dan lebih 2,000 ulang kicau. Kata graduan berusia 26 tahun itu, tujuannya memuat naik gambar dan kenyataan itu adalah untuk membuktikan bahawa pendapat tersebut tidak benar. "Saya rasa mereka merujuk kepada segelintir peminat K-Pop yang terlalu taksub meminati artis mereka. "Tapi, mereka buat andaian bila seorang peminat yang bersikap begitu, semuanya macam tu juga. Saya rasa mereka bersikap tidak adil dengan kami," katanya kepada mStar Online, Jumaat. Selain taksub, peminat K-Pop sering dikatakan membuang masa, membazir wang dan muzik tersebut melalaikan mereka. Puteri Ariana berjaya bergraduat dalam jurusan ijazah sarjana teknologi rekaan. Bagaimanapun, graduan yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata tanggapan tersebut salah sama sekali kerana peminat K-Pop beragama lain pernah mempermudahkan urusan peminat sepertinya untuk menunaikan solat. "Kami ni bukanlah 24 jam fikirkan pasal K-Pop je, kami juga buat aktiviti harian macam orang lain. "Ada juga yang kata K-Pop melalaikan sampai kami lupa Tuhan... tapi mereka tahu ke yang bila masuk waktu solat, penganjur akan maklumkan dan peminat India serta Cina akan tolong jagakan tempat kami sementara pergi solat. "Ada yang pergi konsert hari tu, peminat Cina hulurkan kain mereka untuk kami jadikan alas untuk sembahyang ramai-ramai," jelasnya. Bilik tidur Puteri Ariana dipenuhi dengan poster dan barangan EXO. Puteri Ariana turut menghiasi kamar tidurnya dengan poster dan barangan kumpulan EXO di segenap ruang bilik tersebut. Tambah anak sulung daripada empat beradik itu, peminat K-Pop ini sama sahaja dengan individu lain yang memiliki hobi kerana setiap orang memiliki cita rasa masing-masing. "Janganlah kata kami ni tidak matang. Saya rasa saya matang kerana dapat habiskan pengajian walaupun sering ke acara yang berkaitan kumpulan kegemaran saya, EXO. "Saya rasa kematangan itu diukur dengan bagaimana kita memberi keutamaan dalam kehidupan kita," ujarnya yang turut mempunyai bakat dalam seni mencanting batik.