suria

“Susah nak dapat jiran baik macam ni” - Gadis Melayu terharu, semua tetamu dah balik, muncul jiran Cina tolong lepas kenduri

Video dikongsi Izzaty mengenai keikhlasan jirannya membantu mereka sekeluarga mengemas khemah dan peralatan selepas kenduri menarik perhatian netizen.

PERBEZAAN kaum dan agama bukan halangan untuk hidup harmoni. Itulah mesej yang cuba disampaikan seorang gadis Melayu yang berkongsi momen indah bersama jiran-jirannya yang berketurunan Tionghoa di sebuah taman perumahan.

Video berdurasi 15 saat yang dikongsi Mas Diana Izzaty Masmudin menyaksikan empat pasangan suami isteri berbangsa Cina sedang membantu mengemas khemah dan peralatan kenduri di Taman Lapangan Indah Ipoh, Perak pada malam Ahad.

Video tersebut yang dimuat naik Izzaty di Twitternya menarik perhatian ramai dengan diulang kicau (retweet) sebanyak 14,570 kali dan mendapat kira-kira 16,443 tanda suka (like).

Mas Diana Izzaty atau lebih mesra disapa Izzaty ketika dihubungi mStar Online memberitahu dia berasa terharu dengan keikhlasan jirannya yang membantu mereka sekeluarga selepas selesai kenduri doa selamat.

"Semua tetamu dah balik. Kebetulan waktu kami tengah sibuk kemas barang, uncle-uncle dan aunty-aunty tu yang terdiri daripada empat pasangan suami isteri tengah sembang-sembang di luar rumah. Tiba-tiba mereka pun sertai kami sekali.

"Dari susun meja sehinggalah angkat kerusi sampailah bungkus lebihan lauk mereka tolong. Kami sekeluarga amat terharu sebab mereka sudi tolong majlis orang Melayu. Memang tak sangka sebab situasi macam ni jarang berlaku pada zaman sekarang," katanya.

Izzaty bersama keluarganya semasa meraikan sambutan hari lahir bapanya pada Ahad. Foto ihsan Mas Diana Izzaty.

Malah Izzaty turut berasa bertuah kerana dikurniakan jiran yang bertoleransi, baik hati dan peramah meskipun mereka berbeza kaum dan agama.

"Kami sekeluarga amat bertuah. Saya anggap ini sebagai satu rezeki kerana susah nak jumpa jiran-jiran yang baik macam ni.

"Kami sudah berjiran agak lama sejak kami berpindah pada 1999. Jadi kami sudah kenal antara satu sama lain. Setiap kali bila terserempak mereka akan tegur, ia sudah jadi kebiasaan penduduk di sini," katanya.

Dalam pada itu, Izzaty berkata jirannya itu turut hadir pada majlis kenduri doa selamat keluarganya yang diadakan pada malam Ahad.

"Malam tu kami buat kenduri doa selamat sempena hari lahir abah dan sebelum kami sekeluarga pergi menunaikan umrah pada hujung bulan depan. Kami sekeluarga pun jemput uncle-uncle dan aunty-aunty tu.

Dari susun meja sehinggalah angkat kerusi sampailah bungkus lebihan lauk mereka tolong. Kami sekeluarga amat terharu sebab mereka sudi tolong majlis orang Melayu. Memang tak sangka sebab benda tu jarang berlaku pada zaman sekarang.

MAS DIANA IZZATY MASMUDIN

"Mereka pun datang. Paling saya 'respect' mereka duduk dekat khemah di depan rumah sementara menunggu bacaan tahlil selesai. Malah mereka juga ringankan tangan membantu kami selepas selesai majlis," katanya.

Izzaty turut mendedahkan jiran-jirannya itu sering menghadiahkan buah tangan kepada mereka sekeluarga setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina.

"Apabila Raya Cina mereka akan bagi limau mandarin atau limau barli. Kami pula akan bagi sebalang kuih raya kepada semua jiran setiap kali Aidilfitri.

"Ia sudah jadi kebiasaan. Setiap kali musim perayaan kami akan bertukar buah tangan. Memang setiap tahun kami akan buat macam ni," katanya.

Mas Diana Izzaty Masmudin.

Gadis berusia 25 tahun itu turut mengimbau kenangan manis jirannya membantu membersihkan pokok tumbang di hadapan rumahnya beberapa tahun lalu.

"Saya masih lagi ingat kira-kira tiga tahun lalu waktu tu hujan lebat dan pokok di hadapan rumah kami tumbang.

"Bila tengok keadaan tu, jiran-jiran saya semua keluar rumah, bawa gergaji masing-masing. Mereka pun ambil penyapu dan bersihkan kawasan tersebut tanpa diminta," katanya.

Ditanya mengenai komen negatif segelintir netizen mengenai tweet tersebut, Izzaty enggan mengendahkan komen tidak sihat itu kerana dia hanya ingin berkongsi perkara positif kepada orang ramai.

"Sebenarnya waktu tu saya pun tengah sibuk bungkuskan lauk ke dalam plastik sebab orang katering nak bekas makanan mereka semula.

"Jadi bila tengok jiran-jiran saya buat kerja tanpa disuruh, timbul perasaan terharu dengan keikhlasan mereka. Saya pun rakam sebab tak salah jika kita tunjuk dan kongsi kebaikan mereka kepada orang ramai," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain