suria

“Selagi ayah ada, saya boleh jaga dia” - Bapa 'cool' menangis nikahkan anak, adik pengantin mula rasa tak nak kahwin

Syed Mohd Nasir Syed Ismail sebak sewaktu menikahkan anak perempuannya, Sharifah Natasha Aqilah dengan pasangan, Luqman Alhakim Halid pada Jumaat lalu.

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Begitulah yang dapat digambarkan tentang kasihnya seorang bapa sehingga berat hati untuk melepaskan anak perempuannya dalam satu majlis akad nikah, baru-baru ini.

Video ijab kabul pasangan Sharifah Natasha Aqilah Syed Mohd Nasir, 29, dan Luqman Alhakim Halid, 28, menjadi tular sehingga menerima hampir 500,000 tontonan setelah ia dimuat naik oleh adik pengantin perempuan, Sharifah Naqiyah Afiqah menerusi laman Twitter.

Bercerita kepada mStar Online, Sharifah Naqiyah Afiqah, 22, memaklumkan dia dan hadirin yang lain turut sebak tatkala menyaksikan air mata ayahnya, Syed Mohd Nasir Syed Ismail, 54, tumpah sewaktu acara itu berlangsung.


Sharifah Natasha Aqilah dan pasangan, Luqman Alhakim Halid.

“Untuk pengetahuan, itu kali pertama saya tengok ayah menangis depan mata. Sebelum ni kalau dia sedih atau kecewa pun, dia tak tunjuk perasaan dia.

“Masa tu saya tengah bersedia rakam video, lepas tu tengok ayah menangis. Saya, kakak, adik beradik, dan nenek pun turut menangis.

Semua turut sebak, sebab ayah ni jenis daddy cool, masa tu orang cakap dalam hati dia ada taman,” katanya sewaktu dihubungi pada Selasa.

Tambah gadis ini yang lebih senang disapa sebagai Naqiyah, dia juga beranggapan bapanya gagal mengawal emosi kerana belum puas mencurahkan kasih sayang untuk anak sulungnya itu.

Saya rasa macam tak nak kahwin. Selagi ada ayah, saya boleh jaga dia.

SHARIFAH NAQIYAH AFIQAH

Kata Naqiyah, kakaknya mula tinggal berjauhan dengan keluarga sejak berada di bangku sekolah lagi.

“Mungkin dia rasa tak puas lagi jaga anak. Lepas tahun enam kakak terus masuk asrama, lepas tu sambung belajar di Amerika Syarikat (AS).

“Mestilah sedih nak lepaskan kakak kepada orang lain pula. Dari situ, saya boleh tahu yang ayah sebenarnya sangat sayangkan kami lima beradik,” katanya lagi.

Tambah gadis itu, peristiwa berkenaan cukup meruntun emosinya sehingga dia berazam untuk menjaga bapanya sehingga ke akhir usia.

Malah, dia juga tidak kisah seandainya tidak memiliki buah hati pada masa ini kerana mahu memberi tumpuan kepada kedua orang tuanya.

“Saya rasa macam tak nak kahwin. Selagi ayah ada, saya boleh jaga dia.


Bapa mana yang tidak sedih untuk melepaskan anak perempuannya?

“Saya rasa tak perlu ada boyfriend buat masa ni, saya rasa nak jaga dia sampai ke akhir hayat,” kata Naqiyah lagi.

Dalam pada itu, rata-rata pelayar Twitter turut menghujani posting berkenaan dan menzahirkan rasa sayu mereka setelah menonton video itu.

Ia sehingga kini sudah menerima lebih 30,000 ulang kicau (Retweet).

“Macam ayah saya masa kakak nikah. Saya yang banjir sekali, eh time tu semua orang la banjir jugak. Lagipun sebab teringat arwah akak sulung yang takda sekali,” tulis @Lyanaqilah.

Yup my dad pun nangis masa anak sulung dia which is my eldest sister kawin. Sampai sis pun nak nangis mampu tahan jaaa,” tulis @budakbajupurple.

“Tengok video ni dalam kelas, habis bertakung, nasib lecturer tak tegur lol,” tulis seorang lagi netizen.


Naqiyah (paling kanan) bersama adik beradiknya dan pasangan pengantin.

Sementara itu, Naqiyah yang tidak menyangka posting berkenaan akan menjadi tular turut menasihati semua individu agar sentiasa menghargai ibu bapa masing-masing.

Malah, dia berharap video pendek yang dimuat naik olehnya itu dapat memberi manfaat kepada orang lain.

“Nasihat saya, walau ayah ada buat salah sekalipun, maafkanlah dia. Dia pun manusia biasa. Apa-apa berlaku, dia adalah ayah kita dunia akhirat.

“Saya sebak baca komen di Twitter. Tak tahu macam mana nak cakap, mengalir air mata bila baca,” kata Naqiyah lagi.

Majlis akad nikah pasangan itu berlangsung di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain