KEHILANGAN peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hasan sejak 23 Mac lalu bagaikan menjadi fokus utama netizen yang mahu mengikuti perkembangan semasa insiden itu. Bermula dengan kisah sayu ibunya mencari Mohamad Ashraf atau mesra dipanggil Acap sehinggalah pengalaman pelik dilalui sekumpulan sukarelawan, ramai yang tidak putus asa menunggu perkembangan kes ini. Namun tidak banyak kisah mengenai diri Acap didedahkan. ARTIKEL BERKAITAN: "Bawah terowong dekat telco..." - Sukarelawan dedah isyarat 'handphone' Acap dikesan kali terakhir ARTIKEL BERKAITAN: Siapa dia? Dua kali "jom blah" pisahkan pendaki dengan 'budak' di lokasi Acap hilang ARTIKEL BERKAITAN: Cari sudah, bincang pun sudah... betul ke bunian enggan lepaskan Acap? Selepas 14 hari Acap hilang, barulah abangnya, Mohd Zahiruddin, 35, mahu berkongsi mengenai sikap dan keperibadian mulia adiknya itu yang tidak diketahui ramai. "Kalau kita tanya 20 kawan dia, rata-rata semua suka sebab dia bukan gemar bermusuh dengan sesiapa. "Dia jenis tak banyak cakap. Memang kawan-kawan suka berkawan dengan dia," katanya kepada mStar Online, Jumaat. Acap amat meminati sukan outdoor. Foto Facebook Denny Lang. Menurut Mohd Zahiruddin, adiknya itu amat menggemari sukan outdoor dan pernah menyertai ekspedisi pendakian di Lombok, Indonesia. "Dia memang minat dan aktif dengan sukan outdoor, hiking pun sampai ke luar negara. "Dekat tempat kerja pun dia incharge sebarang aktiviti outdoor, maknanya knowledge dia tentang outdoor memang ada," katanya. Ada orang kata dia jahat sebab netizen kata dia ambil batu simpan dekat kocek... dia ada niat tak baiklah masa berlari. Itu semua tak betul. MOHD ZAHIRUDDIN Abang Acap Malah Mohd Zahiruddin berkata Acap merupakan adik yang baik selain amat mengutamakan ibu mereka, Siti Maznah Khamis. "Kalau dengan adik-beradik (dia) tak ada nak bergaduh ke apa ke... dan dalam ramai-ramai, dialah yang terbaik untuk jaga mak. "Setiap kali jumpa mak, dia akan tanya mak sihat ke tak, mak dah pergi check up ke belum... ubat mak cukup ke? Dialah yang paling menjaga kebajikan mak kami. "Adik-beradik lain memang tak boleh challenge (lawan), kira dialah champion... memang adik-beradik lain susah nak ambil alih tempat dia," katanya. Mohd Zahiruddin (dua dari kanan) semasa menyertai operasi pencarian adiknya. Foto Facebook Denny Lang. Susulan itu, Mohd Zahiruddin turut terkilan dengan dakwaan mengarut netizen yang berkata sesuatu tidak baik mengenai anak keempat daripada enam beradik itu. "Ada orang kata dia jahat sebab netizen kata dia ambil batu simpan dekat kocek... dia ada niat tak baiklah masa berlari. Itu semua tak betul. "Kami keluarga dia, jadi kami tahu dia jenis yang macam mana. Saya pun pelik macam mana mereka tahu... mereka ada nampak ke... benda tak nampak tapi mereka cakap macam tu pula," katanya dalam nada kecewa. Sementara itu, Mohd Zahiruddin turut mendedahkan anak sulung Acap yang berusia setahun setengah turut merindui bapanya. "Kami panggil anak dia Ecah, memang dia rapat dengan daddy dia. Setiap malam setiap kali nak tidur dia akan cari daddy dia. "Biasalah budak-budak dia merengeklah... mungkin dia rindu sebab lama tak jumpa daddy dia," katanya yang turut memberitahu isteri Acap sudah kembali ke Kuala Lumpur selepas beberapa hari menyertai misi mencari suaminya. Acap masih belum ditemui sehingga hari ini. Foto Facebook Denny Lang. Hari ini genap dua minggu misteri kehilangan Acap dan ia terus menjadi tanda tanya walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan bagi menjejaknya selepas tiba-tiba 'ghaib' ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di Gua Tempurung, Perak. Setakat ini masih belum ada sebarang petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penemuan Pembantu Makmal di Klinik Kesihatan Daerah Muar, Johor berusia 29 tahun itu.