suria

Gerun... Maya Karin 'bersuara' selepas anak diam-diam buang penapis teh ibu, “ampunkan aku primadona”

Perols sanggup menaiki motosikal sejauh 300 meter semata-mata ingin membuang penapis teh ibunya.

MEMANG menjadi lumrah, si ibu akan memastikan barangan rumah terutama peralatan dapur dijaga dengan baik dan jangan sesiapa pandai-pandai cuba nak usik.

Tapi kalau ada yang 'gatal tangan' nak guna juga, tentu sekali panjang lebarlah leterannya si ibu jika ia dirosakkan atau tidak diletakkan di tempat asal.

Disebabkan itu, seorang remaja lelaki yang mahu dikenali sebagai Perols, 'kecut perut' apabila penapis ibunya 'berlubang' gara-gara tersilap langkah.

ARTIKEL BERKAITAN: Maya Karin nak tumbuk muka lelaki kejam baling bahan letupan dalam laut

Jelas pemuda berusia 21 tahun itu, dia pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan sempena cuti selepas menjalani latihan pratikal di Shah Alam, Selangor.

Ketika berada di kampung, Perols terasa ringan tulang untuk membantu ibunya memasak.

Penapis teh yang 'dikerjakan' Perols.

"Ketika itu saya seorang di dapur. Selepas menggoreng ayam, saya mahu masukkan baki minyak panas di kuali ke dalam satu bekas.

"Tangan saya terus saja capai penapis teh ibu untuk menapis minyak itu. Tiba-tiba saya tengok dah berlubang," ujarnya mengimbas kembali kejadian Rabu lalu kepada mStar Online.

Cerita Perols lagi, dia terkejut melihat keadaan penapis itu dan serta merta menyembunyikannya di dalam almari.

"Kebetulan waktu itu ayah saya baru pulang kerja untuk makan tengah hari. Jadi saya terpaksa melayan mereka berbual dahulu, namun fikiran tetap risau jika ibu ternampak penapis teh yang dah rosak tu.

"Selepas makan, saya terus bawa motosikal memecut ke arah kawasan sungai lebih kurang 300 meter dari rumah.

"Sebelum membuangnya, saya mengambil gambar dan memuat naik di laman Twitter. Saya bukannya buang dalam sungai tersebut, tetapi di kawasan berhampiran. Takut punya pasal, agak jauh saya buang penapis teh itu.

"Saya harap ibu tidak akan perasan barangnya hilang. Mungkin saya akan ganti dengan yang baharu nanti," ujar anak kelima daripada enam orang adik beradik ini.

Tweet Perols mendapat perhatian aktres Maya Karin.

Bagaimanapun, menurut Perols dia tidak menyangka tweetnya itu akan jadi perhatian.

Saya hanya membalas kepada dia 'ampunkan aku primadona ayuh pulang ke paku laris sitam dan Laila sedang menunggu'.

PEROLS

"Ramai kawan mengusik untuk beritahu ibu saya dan mahu memuat naiknya di Facebook.

"Ibu bapa saya memang selalu buka Facebook. Saya dengar ada yang sudah berkongsi gambar itu di situ. Harap-harap mereka tidak nampak.

"Lebih mengejutkan lagi, dapat Retweet (ulang kicau) pelakon terkenal tanah air, Maya Karin. Memang tak sangka. Kebetulan saya baru sahaja menonton filem 'Pontianak Harum Sundal Malam'.

"Saya hanya membalas kepada dia 'ampunkan aku primadona ayuh pulang ke paku laris sitam dan Laila sedang menunggu'.

"Maya memang peka dengan isu-isu alam sekitar ini disebabkan gambar yang saya ambil itu berlatar belakangkan sungai," jelasnya yang tahu mengenai pelantikan Maya sebagai ikon River of Life (ROL) oleh Kementerian Wilayah Persekutuan selama setahun.

Jelas Perols, sehingga kini keluarga dan adik-beradiknya yang lain belum sedar lagi mengenai penapis teh yang sudah tular ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
penapis teh, Maya Karin, alam sekitar

Artikel Lain