suria

Bakal mertua tak suka Kelantan alasan putus, bekas awek syak lain, “Mungkin itu alasan saja”

Kata Umi, dia dan lelaki itu mula menjalinkan hubungan sekitar setahun yang lalu. Gambar Hiasan (SeekersGuidance)

APA salah Kelantan? Itulah persoalan yang bermain di minda seorang gadis kelahiran negeri itu apabila dia ditinggalkan teman lelakinya.

Menerusi perkongsian di laman Twitter, Umi Raudhah memuat naik paparan skrin perbualan WhatsApp antara dirinya dengan seorang jejaka yang berasal dari selatan tanah air.

Difahamkan, ibu kepada lelaki itu seolah-olah tidak mahu anaknya bercinta dengan gadis kelahiran Kelantan.

Mesra disapa Umi, gadis berusia 20 tahun itu mengakui terkilan apabila sentimen kenegerian dijadikan alasan untuk memutuskan hubungan mereka yang berputik sejak setahun lalu.

Enggan membuka aib atau mendedahkan identiti lelaki berkenaan, Umi bagaimanapun skeptikal jika ibu bekas teman lelakinya benar-benar tidak suka orang Kelantan atau ia dijadikan alasan semata-mata untuk menolak dirinya.

Kata Umi, dia terkilan apabila sentimen negeri dijadikan alasan oleh lelaki itu. Gambar Hiasan (WMA Property).

"Dia macam tak ada usaha untuk memperjuangkan perhubungan kami. Mungkin itu alasan sahaja dan dia sudah ada orang lain.

"Walaupun tak kenal mak dia, saya pernah contact sebelum ini. Dia tak pernah tunjuk yang dia tak suka orang Kelantan.

"Lagipun ini bukan kali pertama dia cerita mengenai saya kepada ibunya," kata Umi sewaktu dihubungi mStar pada Sabtu.

Mengulas peristiwa itu, Umi juga mengakui sedih apabila masih lagi wujud sentimen negatif terhadap negeri kelahirannya.

Setiap negeri ada perangai masing-masing, bukan negeri tu yang ada perangai, tapi penduduknya. Takkanlah Kelantan je yang salah.

UMI RAUDHAH

Kata Umi, perbuatan menyalahkan keseluruhan rakyat sesebuah negeri gara-gara perbuatan segelintir individu adalah tindakan yang tidak patut dilakukan.

"Kalau ada orang yang buat salah, janganlah salahkan satu negeri. Kenal dulu baru nilai.

"Setiap negeri ada perangai masing-masing, bukan negeri tu yang ada perangai, tapi penduduknya. Takkanlah Kelantan je yang salah.

"Ada yang cakap orang Kelantan ni berpuak-puak, kejutan budaya bila ke bandar, tak semua macam tu," ujarnya lagi.

Menurut Umi yang juga penuntut di sebuah insitut pengajian di Machang, dia enggan lagi memikirkan hal itu.

Malah, dia sekadar berkongsi kejadian berkenaan di laman Twitter untuk bertanya pendapat orang ramai sahaja mengenai negeri kelahirannya.

"Saya post sebab nak tanya pada pengikut, apa salah Kelantan? Tak minta nak viral pun.

"Tak ada niat nak malukan dia, mungkin ada juga salah saya. Dah tak ada jodoh. Malas nak fikir, saya serik bila dah kena macam ni," katanya lagi.

Paparan skrin perkongsian Umi di laman Twitter.

Dalam pada itu, posting Umi menerima lebih 14,000 ulang kicau (Retweet) di laman Twitter.

Malah, rata-rata netizen turut memberikan pendapat yang berbeza-beza berhubung isu itu.

"Tak semua orang negeri Kelantan tak elok perangainya, setiap negeri setiap negara ada je toxic people, kenapa perlu salah satu tapi semua kena? Apa benda punya mentality," tulis @amiraromzi_.

"Sis percayalah. Alasan je tu. Kalau betullah dia sayang, dia tak kisah pun dari mana. Mak pun mesti tak kisah sebab tu pilihan anak dia. You deserve better," tulis @AzyanAwai.

"Same case tapi member aku mak dia tak berkenan sebab awek orang nogoghi (Negeri Sembilan)" tulis seorang lagi pelayar Twitter.

"Mak aku suka je abang aku kahwin dengan orang Kelantan hahaha katanya orang sana sopan," tulis @FateenSyahira.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Umi Raudhah, Kelantan, putus cinta

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan