suria

Tiada ucapan 'happy birthday', abang sulung nekad cari Acap... “Laporan polis? Saya tak tahu menahu”

Acap (baju biru) masih belum ditemui sehingga hari ini. -foto Facebook Denny Lang.

TANGGAL 16 April setiap tahun, Mohd Zahiruddin Hasan sentiasa menerima ucapan selamat hari lahir daripada adik tersayang, Mohamad Ashraf atau lebih mesra disapa Acap.

Namun hari ini, ucapan itu tidak kunjung tiba apabila Acap masih belum ditemui selepas hilang semasa menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) pada 23 Mac lalu.

"Rasa sedih sebab Ashraf masih belum ditemui pada hari lahir saya yang ke-35 tahun. Jika tahun-tahun sebelumnya dia akan mesej wish birthday saya tapi kali ini tiada mesej daripada dia.

"Tiada sambutan kali ini cuma saya hanya ingin teruskan misi mencari Ashraf. Itulah keutamaan saya dan keluarga ketika ini," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang buat laporan polis minta orang ramai, sukarelawan berhenti cari Acap

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 2 minggu hilang, abang akui "Acap 'champion' jaga mak, adik-beradik lain tak boleh lawan"

Ditanya mengenai harapannya sempena hari kelahirannya pada Selasa, Mohd Zahiruddin berkata dia berharap agar adiknya itu dapat ditemui segera.

Mohd Zahiruddin berkongsi beberapa keping gambar meredah laluan sungai semasa misi mencari adiknya.

"Tiada apa yang saya harapkan cuma mahu adik saya ditemui segera. Saya harap agar Allah berikan sedikit petunjuk mengenai lokasi Ashraf berada ketika ini.

"Saya juga berharap agar orang ramai mendoakan agar urusan pencarian Ashraf dipermudahkan. Walau di mana pun Ashraf berada, saya harap agar dia terus kuat. Saya yakin dia akan balik," katanya.

Diminta mengulas mengenai perbuatan beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan masalah mereka untuk menipu orang ramai dengan cara mengutip sumbangan, Mohd Zahiruddin menyuarakan rasa kesal mengenai perkara tersebut.

"Saya dapat tahu ada orang dah tertipu dengan mesej daripada scammer tersebut. Saya amat kesal kerana mereka mengambil kesempatan memperdayakan orang ramai menggunakan nama saya.

Dia buat laporan polis itu di luar pengetahuan saya sebab pada waktu itu saya berada di Kedah. Saya tidak tahu menahu. Saya juga tidak tahu apa dia punya point-point sampai dia boleh bertindak sebegitu. Saya amat terkejut.

MOHD ZAHIRUDDIN HASAN

"Saya sendiri pun tidak pernah minta orang untuk transfer duit ke akaun saya. Cuma jika ada yang nak menyumbang, itu pun kepada akaun ibu saya bukan akaun saya," katanya.

Susulan itu, Mohd Zahiruddin menasihati orang ramai yang menjadi mangsa penipuan sindiket tidak bertanggungjawab itu supaya membuat laporan polis.

Mohd Zahiruddin menasihati orang ramai agar jangan terpedaya dengan sindiket yang meminta wang atas namanya.

"Siapa yang sudah tertipu dan ada terima mesej berunsur penipuan, saya sarankan terus buat laporan polis.

"Kalau anda beritahu saya, saya tak ada kuasa nak buat apa. Jadi biar polis buat siasatan," katanya.

Dalam pada itu, mengenai laporan polis yang dibuat oleh adiknya, Mohammad Azlan, 31, pada Ahad lalu yang menggesa orang ramai supaya menghentikan pencarian Acap, Mohd Zahiruddin memberitahu perkara itu di luar pengetahuannya.

"Saya tak boleh nak komen sebab yang buat laporan itu bukan saya. Saya ingin jelaskan orang itu (buat laporan) bukan saya sebab ada yang keliru.

"Dia buat laporan polis itu di luar pengetahuan saya sebab pada waktu itu saya berada di Kedah. Saya tidak tahu menahu. Saya juga tidak tahu apa dia punya point-point sampai dia boleh bertindak sebegitu. Saya amat terkejut," kata abang sulung kepada Acap ini.

Pada Isnin, kecoh di media sosial penyebaran laporan polis yang dibuat oleh Mohammad Azlan, abang kedua Acap yang meminta sukarelawan menghentikan misi mencari adiknya itu.

Mohd Zahiruddin (kiri) bertemu dengan seorang ustaz di Kuala Nerang, Kedah pada Ahad , hari yang sama laporan polis dibuat. -foto Facebook Denny Lang

Dalam laporan polisnya, Mohammad Azlan memohon orang awam dan mana-mana sukarelawan yang ingin menjalankan misi mencari adiknya berhenti datang serta masuk ke kawasan kampung tempat mangsa hilang.

"Saya telah bincang dengan pihak ketua Kampung Pintu Padang dan saya perlu membuat satu laporan polis. Saya turut meminta agar sebarang spekulasi dan berita-berita tidak benar tentang kehilangan adik saya ini turut dihentikan," katanya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis serta kandungan laporan yang tular dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Acap dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan memulakan larian GUT 2019 dari Gua Tempurung dekat Gopeng bagi kategori 25km pada 23 Mac lalu, namun mangsa tidak sampai ke garis penamat selepas selesai perlumbaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain